Skip to main content

Dunia

14 terkorban dalam nahas pesawat di Sudan Selatan

A member of the South Sudan Red Cross walks at the wreckage of a Cessna 208 Caravan operated by CityLink Aviation, that lost communication and crashed while flying from Yei to Juba International Airport, in Juba, South Sudan April 27, 2026. REUTERS/Samir Bol
Anggota Palang Merah Sudan Selatan meninjau kawasan pesawat Cessna 208 Caravan yang terputus hubungan dan terhempas ketika dalam penerbangan dari Yei ke Lapangan Terbang Antarabangsa Juba, di Juba, Sudan Selatan, 27 April 2026. REUTERS

JUBA: Empat belas orang terkorban pada Isnin apabila sebuah pesawat kecil terhempas di kawasan Luri di pinggir Bandar Juba, ibu negara Sudan Selatan, lapor agensi berita Xinhua memetik pengesahan pihak berkuasa penerbangan.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan Selatan (SSCAA) memaklumkan bahawa kesemua penumpang di dalam pesawat Cessna 208 Caravan dengan nombor pendaftaran 5Y-NOK kendalian CityLink Aviation Limited, maut dalam nahas itu.

Advertisement

"Terdapat 13 penumpang dan seorang juruterbang (kapten) di dalam pesawat terlibat. Antara mereka ialah dua warga Kenya dan 12 warga Sudan Selatan. Malangnya, tiada mangsa yang terselamat," menurut SSCAA dalam satu kenyataan.

Badan kawal selia industri itu berkata pesawat berkenaan berlepas dari Yei menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Juba pada 9.15 pagi waktu tempatan (0715 GMT) dan terputus hubungan pada 9.43 pagi waktu tempatan (0743 GMT).

Menurut SSCAA, siasatan awal menunjukkan pesawat itu berkemungkinan terhempas akibat keadaan cuaca buruk, terutamanya jarak penglihatan yang rendah.

Pihak kawal selia berkata pasukan penyiasat dan pasukan kecemasan kini berada di lokasi kejadian di kawasan Luri untuk membawa keluar mayat mangsa serta menyelamatkan rekod teknikal penerbangan terbabit.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video