ISTANBUL: Wabak taun terus merebak di seluruh Sudan, dengan lebih 2,000 kes disyaki dan 170 kematian dilaporkan sejak Mei, terutamanya di wilayah Kordofan, menurut laporan Anadolu Ajansi (AA) yang memetik kenyataan Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) pada Isnin.
Dalam satu kemas kini situasi kemanusiaan, OCHA menyatakan badan bantuan terus menyalurkan bantuan yang menyelamatkan nyawa di mana sahaja dan pada bila-bila masa, walaupun berdepan keadaan operasi yang sukar.
"Taun sedang merebak di Sudan. Lebih 2,000 kes disyaki dan 170 kematian dilaporkan sejak Mei terutamanya di wilayah Kordofan," menurut agensi itu.
Kenyataan itu menambah PBB dan rakan kongsi kemanusiaannya terus mempertingkat usaha menangani wabak taun, dengan menyokong hampir 80 pusat pemantauan, 16 pusat rawatan, lapan pusat pemberian larutan rehidrasi oral, serta aktiviti pencegahan bagi lebih 270,000 penduduk di kawasan yang terjejas.
Bagaimanapun, OCHA memberi amaran kekurangan dana mengehadkan skop tindak balas tersebut dan merayu sokongan tambahan daripada pihak penderma.
Menurut agensi itu, Pelan Keperluan dan Tindak Balas Kemanusiaan bagi Sudan telah menerima dana berjumlah kira-kira US$1.1 bilion, iaitu sekitar 40 peratus daripada jumlah hampir US$2.9 bilion yang diperlukan untuk memenuhi keperluan kemanusiaan tahun ini.
Pada 10 Julai, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran wabak taun sedang merebak ke seluruh wilayah Darfur dan Kordofan susulan laporan 114 kematian dan lebih 1,330 kes, sambil menambah bahawa angka tersebut berkemungkinan akan meningkat.
WHO menyifatkan situasi di Sudan sebagai krisis kemanusiaan terbesar di dunia, dengan lebih 33 juta penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan, termasuk 21 juta yang memerlukan perkhidmatan kesihatan.
Sudan dilanda konflik sejak April 2023, apabila pertempuran tercetus antara tentera dan Rapid Support Forces (RSF) berhubung rancangan untuk menyerapkan pasukan separa tentera itu ke dalam angkatan tentera.
Peperangan itu mengakibatkan antara krisis kemanusiaan terburuk dunia, mengorbankan puluhan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
-- BERNAMA-ANADOLU