Ringkasan AI
- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor melupuskan 37.3 tan dadah bernilai RM1.71 bilion melibatkan 6,526 kertas siasatan dari 2009 hingga 2025.
- Proses pelupusan dijalankan di loji rawatan sisa klinikal Kuala Langat menggunakan insinerator berteknologi tinggi secara terkawal dan selamat.
- Sepanjang tahun ini, JSJN merekodkan 184,732 kes dengan 205,536 tangkapan serta rampasan dadah dan racun bernilai RM2.96 bilion di seluruh negara.
SHAH ALAM: Sebanyak 37.3 tan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.71 bilion, dilupuskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor hari ini.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata barang kes itu, membabitkan 6,526 kertas siasatan dari tahun 2009 hingga 2025, yang telah diselesaikan sepenuhnya.
Beliau berkata antara dadah yang dilupuskan ialah 33.5 tan syabu, 714 kilogram (kg) ketamin, 104 kg ganja, 14 kg pil ecstasy, sembilan kilogram heroin, lima kilogram erimin 5, satu kilogram pil kuda atau yaba dan 458 liter MDMA.
“Proses pelupusan akan dijalankan di sebuah loji rawatan sisa klinikal, di Kuala Langat dan kesemua barang kes dimusnahkan sepenuhnya secara terkawal, menerusi kaedah pembakaran menggunakan insinerator yang selamat serta berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Majlis Pelupusan Barang Kes JSJN, yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, Hussein berkata sebanyak 45.7 tan dadah pepejal dan 60,880 liter dadah cecair bernilai kira-kira RM1.93 bilion telah dilupuskan di seluruh negara sepanjang tahun ini.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, Selangor mencatatkan nilai pelupusan tertinggi iaitu RM1.71 bilion diikuti Sabah berada di tempat kedua dengan RM120.4 juta manakala Johor dengan RM40.02 juta,” katanya.
Hussein memaklumkan JSJN turut melupuskan 13,342 kertas siasatan narkotik seluruh negara yang membabitkan kes dari tahun 1991 hingga 2025.
“Daripada jumlah itu, 90 peratus ialah kes yang telah dituduh dan dijatuhi hukuman di mahkamah, lapan peratus kes yang dibebaskan dan dua peratus kes rampasan tanpa tangkapan.
“Selangor mencatatkan jumlah pelupusan kertas siasatan tertinggi, iaitu 6,526 kes diikuti Sarawak dengan 2,383 kes, manakala Perak (2,069 kes),” katanya.
Dari segi penguatkuasaan, Hussein berkata bermula Januari hingga Oktober tahun ini, JSJN merekodkan 184,732 kes yang membabitkan 205,536 tangkapan di seluruh negara, hasil tindakan penguatkuasaan dalam membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Dalam tempoh sama, JSJN merekodkan rampasan lebih 39.1 tan dan 31,176.56 liter dadah dalam bentuk cecair, manakala bahan di bawah Akta Racun 1952 yang dirampas pula berjumlah 47 tan dan 112,600.94 liter.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan racun itu ialah RM2.96 bilion,” katanya.
-- BERNAMA