LONDON: Beberapa pasar raya di seluruh Sweden melaporkan sistem penyejukan dan peti sejuk beku mereka digodam, menyebabkan bekalan makanan rosak serta mengakibatkan beberapa premis ditutup sementara, lapor Anadolu Ajansi, memetik penyiar awam SVT.
Insiden itu menjejaskan beberapa cawangan ICA, kebanyakannya di wilayah selatan Skane, selain premis di pulau Oland, Varmland dan Stockholm.
Enam cawangan Coop di wilayah Gastrikland dan Halsingland turut terjejas.
Di ICA Nara di Boda, Oland, pengurus pasar raya Mats Olsson berkata beliau mendapati lantai premis dipenuhi air sebaik tiba di tempat kerja, manakala bacaan suhu peti sejuk beku menunjukkan 55 darjah Celsius.
Unit penyejukan dilaporkan dimatikan, menyebabkan produk makanan rosak.
Di sebuah cawangan ICA di Sankt Olof, Pengurus Dennis Vidal berkata kakitangan sedang berusaha menyelamatkan keadaan.
"Buat masa ini kami sedang mengosongkan peti sejuk beku; tidak banyak perkara lain yang boleh dilakukan. Suhunya hampir kembali sejuk, tetapi semua barangan sudah rosak," katanya.
Pegawai Media ICA Gustaf Nilsson berkata syarikat itu sedang menyiasat gangguan yang berlaku pada waktu malam serta membantu cawangan yang terjejas.
"Kami maklum yang sebilangan kecil cawangan terjejas akibat satu insiden pada waktu malam yang menjejaskan sistem penyejukan dan pembekuan mereka," katanya.
Nilsson berkata sambungan rangkaian cawangan yang terjejas berada di luar rangkaian pusat ICA.
Gangguan serupa turut dilaporkan di beberapa lokasi lain di Eropah, dengan puluhan pasar raya Ahold Delhaize di Belgium dan Luxembourg terjejas akibat satu insiden teknologi maklumat (IT).
-- BERNAMA-ANADOLU