PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini meningkatkan tempoh penjara bekas pekerja domestik kepada 15 tahun kerana merogol seorang kanak-kanak perempuan bawah umur, empat tahun lepas.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah mengguna pakai Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk meningkatkan hukuman terhadap warga Indonesia Zulpandy Rispen Effendi yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.
Azman yang bersidang bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy memerintahkan Zulpandy menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap, iaitu 7 Julai 2022.
“Hukuman penjara 10 tahun (yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen) tidak memberikan mesej kepada orang ramai mengenai keseriusan kesalahan merogol kanak-kanak,” katanya.
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman dua sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.
Semasa menolak rayuan Zulpandy terhadap sabitan dan hukumannya, Azman berkata kedua-dua Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusan mereka.
Beliau berkata keterangan seorang penyambut tetamu hotel bahawa pendaftaran dibuat oleh perayu yang dilihat bersama-sama seorang budak perempuan adalah konsisten dengan keterangan mangsa yang menyatakan dia menunggu di luar hotel semasa perayu membuat pendaftaran.
Pada 22 April tahun lepas, Mahkamah Sesyen Ampang mendapati Zulpandy bersalah atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan yang berusia 13 tahun empat bulan ketika itu di sebuah bilik hotel di Gombak, Selangor pada 5.34 petang 26 Jun 2022.
Berdasarkan fakta kes, mangsa mengenali Zulpandy dan berkomunikasi menerusi WhatsApp selama lapan hari sebelum kejadian itu berlaku.
Mahkamah Sesyen juga memerintahkan Zulpandy menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh tahanan diikuti pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman penjara.
Pada 27 Feb, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman itu.
Pada prosiding hari ini, peguam Marisha Dianah Md Darus dan Ahmad Hafiz A. Bakar mewakili Zulpandy manakala Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir mewakili pihak pendakwaan.
-- BERNAMA