DUNIA
20 tahun damai, Aceh masih bergelut dengan cabaran ekonomi

Media melaporkan Aceh memiliki kira-kira 27 gudang sejuk beku, namun hampir separuh daripadanya tidak berfungsi, menjadikan kapasiti penyimpanan hasil tempatan masih tidak mencukupi. - Astro AWANI/Seth Akmal.
BANDA ACEH: Dua dekad selepas termeterainya perjanjian damai antara Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan Republik Indonesia, landskap politik Aceh telah berubah secara signifikan.
Bekas pejuang GAM kini aktif dalam pentadbiran negeri melalui Parti Aceh, di wilayah yang diberi status autonomi khas.
Namun, kesan konflik selama hampir 40 tahun masih membelenggu pembangunan ekonomi Aceh.
Menurut Teuku Murdani Syam, pakar masyarakat dan kriminologi dari Universiti Islam Negeri Ar-Raniry, konflik yang berlarutan di kawasan desa telah menjejaskan pengeluaran hasil tempatan.“Ketika konflik berlaku, pengeluaran tergendala kerana ia melibatkan kawasan desa yang menjadi sumber utama pertanian dan keperluan masyarakat bandar,” jelasnya.
Aceh memiliki 68 kilang kelapa sawit, namun potensi pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya akibat kekurangan kilang pemprosesan.
Walaupun terdapat pelabuhan di Krueng Geukueh, Calang dan Kuala Langsa, kemudahan sedia ada masih tidak mampu menampung eksport berskala besar.
Pengarah Pembangunan Perniagaan Pembangunan Aceh, Naufal Natsir Mahmud, menyatakan bahawa sebahagian besar hasil terpaksa dieksport melalui pelabuhan di Sumatera Utara.
“Tiada gudang khusus untuk menyimpan CPO di Aceh, menyebabkan perdagangan domestik dan antarabangsa melalui kapal tidak dapat dijalankan,” katanya.
Selain kelapa sawit, kelemahan infrastruktur turut menjejaskan sektor pertanian dan perikanan.
Pengasas Aceh Documentary, Azhari Abdul Ghani, berkata ketiadaan kemudahan asas menyebabkan hasil tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus menjejaskan pasaran tempatan dan meningkatkan kebergantungan kepada bekalan dari Sumatera Utara.
Laporan media menyebut Aceh mempunyai sekitar 27 gudang sejuk beku, namun hampir separuh daripadanya tidak berfungsi, menjadikan kapasiti penyimpanan hasil tempatan masih tidak mencukupi.
“Tanpa infrastruktur, ekosistem tidak terbentuk. Hari ini masyarakat menanam cili, tetapi apabila musim menuai tiba, harga jatuh mendadak. Begitu juga nelayan, hasil tangkapan melimpah, tetapi tiada tempat untuk menyimpan atau memasarkan,” katanya.
Beliau menambah, hampir keseluruhan sektor pertanian terhenti, menyebabkan keperluan dapur penduduk bergantung sepenuhnya kepada bekalan luar.
Isu kemiskinan kekal menjadi cabaran utama. Walaupun kadar kemiskinan menurun daripada 12.64 peratus pada 2024 kepada 12.33 peratus pada Mac 2025, jurangnya masih ketara.
Di luar bandar, kadar susut 0.55 mata kepada 14.44 peratus, namun di kawasan bandar, ia meningkat sedikit kepada 8.54 peratus.
Bekas perunding GAM, M. Nur Djuli, meluahkan kesedihan apabila isu ekonomi terus menjadi penghalang kepada kebangkitan Aceh pasca damai.
“Saya sering ke kampung dan kawasan pedalaman. Kemiskinan masih wujud, orang tua masih kelaparan, ini realiti selepas 20 tahun MoU. Fokus kita seharusnya bukan pada pencapaian, tetapi pada apa yang belum dicapai,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami