Skip to main content

Politik

UMNO 80 tahun: 'KJ, yes I make mistake, you also make mistake' - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Mei -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan beramah mesra selepas ucapan penggulungan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) hari ini.  --fotoBERNAMA
Ahmad Zahid bersama Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan beramah mesra selepas ucapan penggulungan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di WTCKL hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui bahawa beliau dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin masing-masing pernah melakukan kesilapan.

Dalam ucapan penggulungan sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO, Ahmad Zahid berkata semua pihak mesti berani mengakui kesilapan lalu.

Advertisement

Beliau berkata, UMNO hanya akan kekal relevan jika kepimpinan dan ahlinya bersikap terbuka dalam menilai kelemahan serta memperbaiki diri bagi mengelakkan perpecahan dalaman.

"‘KJ, yes I make mistake, you also make mistake.’ Faham tak apa, tak faham pun tak apa.

"Kita mesti memperbaiki kelemahan kita juga. Kita mesti berani mengakui kesilapan lalu. Kita mesti memperbaiki kelemahan kita. Kita mesti bijak mencipta perubahan dan mengelakkan dari terjerumus ke kancah perpecahan," katanya ketika menyampaikan ucapan tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid turut mengakui bahawa perjalanan UMNO ke hadapan bukan sesuatu yang mudah, namun kepimpinan parti akan memastikan UMNO terus relevan dalam tempoh dua dekad akan datang.

"Saya tidak menjanjikan jalan yang mudah. Saya dan kami akan memastikan parti ini kekal relevan dalam tempoh dua puluh tahun akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menyeru ahli UMNO supaya menyusun semula kekuatan parti dan memperkukuh gerak kerja menghadapi cabaran politik semasa.

"Marilah kita susun semula kemenangan, marilah kita persiapkan jentera, marilah kita bersama melakar kembali masa depan. Marilah kita bangkit sebagai satu saf, satu suara dan satu kekuatan.

"Jadikanlah lapan dasawarsa ini sebagai titik permulaan kepada kebangkitan UMNO," katanya.

Sementara itu, Khairy ketika ditemui media berkata beliau melihat pendekatan Ahmad Zahid sebagai satu isyarat keikhlasan untuk membuka ruang lembaran baharu dalam hubungan politik serta usaha memperkukuh parti.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap pengakuan bahawa kemungkinan kedua-dua pihak pernah melakukan kesilapan, sambil menyatakan kesediaan untuk melangkah ke hadapan.

"Saya rasa ia mencerminkan keikhlasan beliau dalam membuka semula pintu UMNO untuk saya, dan amat jarang kita melihat seorang pemimpin parti mengakui bahawa terdapat kekurangan di kedua-dua pihak.

"Saya sangat berterima kasih atas sikap besar hati dan keikhlasan beliau. Saya percaya itu adalah cara yang sangat baik untuk menyatakan bahawa, saya kira, lembaran baharu telah dibuka dan kita kini bekerjasama untuk memperkukuh parti," katanya.

Must Watch Video