GAZA: Angka korban akibat perang Palestin dan Israel di Tebing Barat meningkat kepada 212 nyawa, manakala lebih daripada 2,000 mangsa pula dilaporkan cedera pada Sabtu.

Menteri Kesihatan Palestin, Mai Al-Kaila yang mengesahkan angka itu berkata, sejumlah 26 hospital daripada 35 hospital secara keseluruhan gagal beroperasi susulan serangan bertubi oleh rejim Zionis Israel.

Menurut beliau, kegagalan pengoperasian hospital di Gaza menyebabkan perkhidmatan rawatan kepada mangsa tergendala.

“Jentera pemusnah dan pembunuhan oleh Israel terus mengamalkan pencerobohan dan peperangannya terhadap Semenanjung Gaza untuk hari ke-43 perang dan pencerobohan terhadap Semenanjung Gaza.

‘Jumlah syahid sejak permulaan pencerobohan terhadap Semenanjung Gaza telah mencecah lebih daripada 11,500, termasuk lebih daripada 5,000 kanak-kanak, lebih daripada 3,200 wanita dan lebih daripada 700 warga emas, manakala jumlah yang cedera mencecah lebih daripada 30,000 yang cedera,” katanya dalam sidang media.

Sementara itu, beliau juga berkata, berkemungkinan angka korban semasa bukan jumlah yang tepat, susulan terdapat jangkaan mayat-mayat yang belum ditemui dibawah runtuhan bangunan.

“Angka (korban) ini bukan angka muktamad, kerana terdapat lebih banyak mayat yang belum ditemui di bawah runtuhan," ujarnya.

Mai Al-Kaila turut memaklumkan, ketika  ini di Semenanjung Gaza, hanya terdapat 1,200 katil hospital sedia digunakan untuk merawat mereka yang cedera dan jumlah itu tidak mampu menampung keperluan semasa.

Beliau juga berkata, perang yang memasuki hari ke-43 itu menyaksikan angka kematian di Gaza melebihi 11,500 yang merangkumi lebih 5,000 kanak-kanak dan lebih 3,000 wanita serta lebih 31,000  yang cedera. - Agensi