DUNIA
22 cedera akibat kebakaran pusat data telekomunikasi di Kaherah

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran yang meletus di sebuah bangunan telekomunikasi di daerah Ramses di pusat bandar Kaherah, Mesir, 7 Julai 2025. REUTERS
KAHERAH: Sekurang-kurangnya 22 orang cedera dalam kejadian kebakaran yang melanda sebuah pusat data telekomunikasi utama di daerah Ramses, pusat bandar Kaherah pada Isnin.
Kementerian Kesihatan Mesir memaklumkan, kebanyakan kes kecederaan berpunca akibat tersedut asap tebal.
Salah seorang mangsa, Mohammed Al-Hawary berkata dia melihat api marak yang bermula dari bumbung bangunan telekomunikasi tersebut seterusnya merebak ke tingkat bawah.
"Api bermula dari bumbung dan merebak ke tingkat bawah. Kereta bomba tiba dengan cepat dan mula memadamkan api."Mereka membawa tangga dan sedang memindahkan kakitangan yang terperangkap di tingkat atas.
"Petugas kesihatan turut tiba bagi memberi rawatan kepada mangsa yang sesak nafas atau mengalami kecederaan lain, dan terus membawa mangsa ke hospital menaiki ambulans," katanya.
Dalam pada itu, kebakaran yang berlaku di bangunan milik syarikat Telecom Egypt itu turut menyebabkan gangguan besar terhadap perkhidmatan komunikasi di ibu negara Mesir itu.
Menurut kumpulan pemantauan internet Netblocks, peratusan sambungan internet negara hanya berada pada 62 peratus susulan kejadian itu.
Selain gangguan panggilan telefon, beberapa perkhidmatan perbankan digital turut terjejas termasuk penggunaan kad kredit, mesin ATM dan transaksi dalam talian, serta bank yang ditutup lebih awal pada hari kejadian.
Sementara itu, menurut sumber keselamatan yang dipetik oleh MENA, siasatan awal mendapati punca kebakaran berkemungkinan besar adalah litar pintas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami