Ringkasan AI
- Barisan Nasional memenangi 15 daripada 28 kerusi DUN Melaka pada Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16, melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
- Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, mengumumkan keputusan rasmi sehingga jam 9.40 malam, Sabtu.
- Pakatan Harapan memperoleh dua kerusi, Perikatan Nasional satu kerusi, manakala keputusan kerusi lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.
AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, sekali gus melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan itu berdasarkan pengumuman rasmi sehingga jam 9.40 malam, Sabtu.
Menurutnya, BN memperoleh 15 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan dua kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi satu kerusi.
“Parti Barisan Nasional telah memenangi sejumlah 15 kerusi daripada 28 kerusi yang diperuntukkan dan dengan ini berjaya memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan.
“Oleh itu, Barisan Nasional boleh membentuk kerajaan dengan keputusan majoriti mudah,” katanya ketika mengumumkan keputusan PRN Melaka ke-16, di Pejabat Pilihanraya Negeri Melaka.
Bagaimanapun, SPR memaklumkan keputusan bagi kerusi-kerusi lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.
PRN Melaka ke-16 menyaksikan sebanyak 28 kerusi DUN dipertandingkan bagi menentukan mandat baharu pentadbiran negeri itu.