GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemukan lemas di sebuah kolam mini di Taman Etnobotani, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 11 pagi.
“Mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Gua Musang menggunakan ambulans dan kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sehubungan dengan itu, Sik menasihatkan ibu bapa dan penjaga sentiasa mengawasi kanak-kanak khususnya ketika berada di kolam renang, sungai atau kawasan rekreasi air.
-- BERNAMA