OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) 23 kru yang masih hilang selepas sebuah kapal kargo Vietnam karam di perairan Laut China Selatan, berhampiran Terumbu Fiery Cross, semalam diteruskan hari ini.
Menurut penyiar rasmi China, CCTV, seramai 39 mangsa berjaya diselamatkan selepas insiden itu, manakala usaha mencari baki mangsa masih giat dijalankan.
Pihak berkuasa di wilayah Hainan memaklumkan kapal kargo Khoi Nguyen 18 yang membawa 62 warga Vietnam mengalami kecemasan ketika berada di perairan berhampiran terumbu berkenaan.
Isyarat kecemasan daripada kapal itu mula dikesan oleh kapal penyelamat China, Nanhai Jiu 115, pada petang Sabtu sebelum operasi menyelamat digerakkan.
Susulan itu, beberapa aset penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mempercepatkan usaha mengesan mangsa yang masih hilang.
Operasi berkenaan membabitkan enam kapal milik China, sebuah helikopter penyelamat serta sebuah kapal dari Vietnam yang bekerjasama menjalankan pencarian di kawasan insiden.
Kapal Khoi Nguyen 18 yang berdaftar di Vietnam mempunyai panjang hampir 70 meter dengan berat kasar mencecah 999 tan.
Punca kapal itu mengalami kecemasan dan karam masih belum dikenal pasti, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Terumbu Fiery Cross terletak di gugusan Kepulauan Spratly, kawasan yang menjadi pertikaian beberapa negara kerana kedudukannya yang strategik serta dipercayai kaya dengan sumber semula jadi.
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai wilayahnya termasuk Kepulauan Spratly, selain membina landasan udara dan kemudahan ketenteraan di beberapa pulau buatan di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, tuntutan Beijing bertindih dengan tuntutan beberapa negara lain termasuk Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan, menjadikan Laut China Selatan antara kawasan maritim paling sensitif di dunia.