Skip to main content

Teknologi

Intel, AMD teroka kerjasama baharu dalam industri semikonduktor

Perbincangan mengenai kemungkinan penggunaan kemudahan fabrikasi Intel oleh AMD dilaporkan telah berlangsung sejak beberapa tahun kebelakangan ini. -Foto Amanz
Perbincangan mengenai kemungkinan penggunaan kemudahan fabrikasi Intel oleh AMD dilaporkan telah berlangsung sejak beberapa tahun kebelakangan ini. -Foto Amanz

Advertisement

SANTA CLARA: Kerjasama baharu antara Intel dan AMD tidak mustahil direalisasikan pada masa hadapan demi memenuhi keperluan industri perkomputeran global, lapor Amanz.

Walaupun kedua-dua syarikat bersaing dalam pasaran komputer peribadi dan pelayan, Intel dan AMD mempunyai sejarah kerjasama yang panjang menerusi perjanjian pelesenan silang serta pembangunan seni bina x86 sejak awal 1980-an.

Namun, kedua-dua syarikat terus bersaing dalam pelbagai segmen teknologi. AMD menawarkan siri pemproses Ryzen dan kad grafik Radeon, manakala Intel mempertaruhkan siri pemproses Core Ultra serta kad grafik Arc.

Terbaharu, Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Lip-Bu Tan, mendedahkan bahawa kedua-dua syarikat sedang meneroka kemungkinan mewujudkan satu lagi kerjasama dalam industri semikonduktor selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif AMD, Dr Lisa Su.

Kerjasama yang dibincangkan itu dipercayai tidak melibatkan pembangunan produk secara bersama. Sebaliknya, ia berpotensi membabitkan penggunaan teknologi pengeluaran cip Intel oleh AMD pada masa hadapan, termasuk proses pembuatan 14A yang sedang dibangunkan Intel.

Perbincangan mengenai kemungkinan penggunaan kemudahan fabrikasi Intel oleh AMD dilaporkan telah berlangsung sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Intel ketika ini sedang berusaha menarik lebih banyak pelanggan bagi perniagaan foundri semikonduktornya. Sekiranya AMD memutuskan untuk menggunakan proses pembuatan Intel, langkah itu boleh menjadi antara perkembangan paling signifikan dalam industri cip global.

Pada masa sama, Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) masih kekal sebagai pilihan utama kebanyakan syarikat yang mereka bentuk cip sendiri.

Bagaimanapun, permintaan pasaran yang tinggi serta kos pengeluaran yang semakin meningkat menjadikan proses pembuatan alternatif seperti Intel 14A berpotensi menarik minat syarikat pereka cip pada masa hadapan.

Must Watch Video

Advertisement