SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memulakan pelaksanaan kaedah pengebumian secara kubur bertingkat bagi jenazah yang tidak mempunyai waris di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS), Kepong, di sini, pada Selasa.
JAWI menerusi kenyataan memaklumkan projek perintis berkenaan merupakan antara usaha mengoptimumkan penggunaan ruang tanah perkuburan Islam yang semakin terhad di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurutnya, projek tersebut turut menggunakan mesin takal penurun jenazah yang dibangunkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur bagi memudahkan proses pengendalian dan penurunan jenazah pada kedalaman lapan kaki.
"Dalam kaedah berkenaan, jenazah pertama diturunkan menggunakan pengusung kain kendong bertali dengan bantuan mesin takal, manakala dua atau tiga petugas berada di dalam kubur untuk menyambut jenazah.
"Selepas jenazah pertama diletakkan, alat penahan runtuhan tanah diangkat sebelum liang lahad ditutup dengan papan. Mesin takal kemudian dialihkan dan tanah dikambus sehingga kadar lima kaki dari aras liang lahad.
"Liang lahad kedua sedalam dua kaki kemudian digali di sebelah kiri menghadap kiblat sebelum jenazah kedua diturunkan menggunakan mesin takal dan ditutup dengan papan lahad serta dikambus sehingga ke permukaan asal," katanya.
Sebelum ini media melaporkan tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka hanya mampu menampung pengebumian sehingga 2029 berdasarkan kapasiti sedia ada.
Pada November 2025, JAWI bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dilaporkan menjalankan kajian bagi merangka garis panduan pelaksanaan kubur bertingkat di Wilayah Persekutuan sebagai alternatif menangani kekurangan ruang tanah perkuburan.
Mengulas lanjut, JAWI berkata penggunaan mesin takal mampu meningkatkan kecekapan proses pengebumian di samping memudahkan tugas petugas yang terlibat.
Dalam pada itu, usaha menambah baik pengoperasian tanah perkuburan Islam turut merangkumi penerokaan penggunaan teknologi dan peralatan bersesuaian bagi memastikan pengurusan jenazah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, tertib serta selaras dengan tuntutan syarak. -Sinar Harian