DUNIA
30 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza

Kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, yang maut dalam pengeboman yang giat di kawasan "New Camp" di utara Nuseirat. - Gambar fail/Reuters
GAZA: Sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin terkorban dalam beberapa siri serangan udara Israel yang menyasarkan Kem Pelarian al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza pada Selasa, lapor Xinhua.
Menurut sumber Hospital Al-Awda di kem pelarian itu, kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, yang maut dalam pengeboman yang giat di kawasan "New Camp" di utara Nuseirat - antara zon paling padat di tengah Gaza.
"Kebanyakan mangsa hancur anggota badan akibat kekuatan letupan," menurut kenyataan hospital itu, yang memaklumkan serangan berlaku sejak awal pagi dan menyasarkan beberapa rumah orang awam.
Hospital itu turut memaklumkan yang ia mencapai kapasiti maksimum, dengan pasukan perubatan beroperasi di bawah tekanan luar biasa.Beberapa pesakit mengalami kecederaan kritikal, namun kekurangan ubat dan bekalan perubatan menghalang rawatan yang mencukupi, katanya.
Penduduk berkata lapan orang daripada satu keluarga terbunuh apabila rumah mereka dibom, mengakibatkan rumah itu musnah ketika mereka berada di dalamnya.
Disebabkan kemusnahan dan kekurangan perkhidmatan kecemasan, penduduk terpaksa menggunakan kereta kuda untuk mengangkut mayat dan mangsa yang cedera.
"Ia adalah pemandangan yang amat tragik dan mengejutkan," kata Mohammed al-Hour, seorang lelaki Palestin tempatan.
Beliau berkata kawasan itu "dibom berterusan lebih sejam", menyukarkan usaha pemindahan dan bantuan. "Ambulans tiba sangat lewat. Kami terpaksa angkut mangsa menggunakan apa sahaja cara yang ada," katanya.
Sementara itu, tentera Israel melancarkan serangan darat berhampiran kawasan al-Mughraqa dan Jambatan Wadi, di timur laut Nuseirat, dengan menyasarkan tanah pertanian dan pinggir kawasan kediaman menggunakan kereta kebal dan artileri berat, menurut penduduk.
"Kami tiba-tiba nampak kereta kebal mara sambil pesawat perang mengebom rumah berdekatan. Kami terpaksa melarikan diri," kata Ahmed Saidam, seorang penduduk yang dipindahkan.
"Kami rasa terperangkap dari semua arah. Serangan itu juga menyebabkan kemusnahan besar terhadap rumah dan infrastruktur di kawasan itu," katanya.
Pasukan pertahanan awam dalam satu kenyataan berkata mereka masih berusaha untuk sampai ke lokasi yang dibom bagi mencari mangsa terselamat dan mengeluarkan mayat, namun usaha itu terhalang oleh serangan berterusan dan kekurangan peralatan.
Tiada kenyataan rasmi segera daripada tentera Israel mengenai serangan itu.
Peningkatan keganasan di Nuseirat berlaku ketika situasi kemanusiaan di seluruh Gaza terus merosot, dengan penduduk menghadapi kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan sejak Israel melancarkan operasi berskala besar pada Oktober 2023.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami