KUALA LUMPUR: Pengurusan pelarian di Malaysia memerlukan strategi menyeluruh yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk agensi antarabangsa, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam bagi memastikan kebajikan golongan itu terpelihara tanpa menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat tempatan.
Ketua Pegawai Operasi Alkhair Malaysia, Mohd Luqmanulhakim Mohd Redzuan berkata, peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) perlu diperkukuh, namun tanggungjawab membantu pelarian tidak seharusnya diletakkan pada satu pihak sahaja.
Beliau berkata sumbangan setiap pihak, walaupun kecil, mampu membantu golongan pelarian yang berdepan kekangan mendapatkan pekerjaan dan pendidikan di negara ini.
“Kalau peranan ini dimainkan oleh setiap daripada kita, seorang sedikit, ini adalah sesuatu yang berjaya kita tangani dengan baik,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru, pada Khamis.
Beliau berkata, usaha NGO untuk menyediakan kemudahan pendidikan kepada pelarian juga bukan sesuatu yang mudah, sekali gus memerlukan kerjasama lebih meluas bagi menangani keperluan golongan berkenaan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan persepsi tidak tepat sehingga menimbulkan ketakutan terhadap pelarian, khususnya apabila tanggapan itu tidak menggambarkan tindakan keseluruhan golongan berkenaan.
Sementara itu, Pesuruhjaya Kumpulan Kerja Aduan dan Pemantauan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Abdul Kadir Jailani Ismail berkata, Malaysia perlu merangka strategi untuk mengurangkan kebergantungan pelarian terhadap bantuan.
Katanya, persepsi bahawa pemberian Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) akan menyebabkan mereka terus menetap di Malaysia perlu diperbetulkan, kerana dokumentasi itu bertujuan membolehkan mereka bekerja dan menyara kehidupan sendiri.
“Apabila mereka sudah boleh bekerja, mereka boleh menyara diri. Anak-anak mereka pula pada masa itu boleh dihantar ke sekolah-sekolah yang kita tetapkan. Jadi, generasi yang akan datang itu lahir dengan berilmu dan seterusnya berpeluang berhijrah ke luar,” tegasnya.
Menurutnya, peluang pekerjaan yang terkawal juga membolehkan pelarian menanggung kos rawatan kesihatan sendiri melalui pendapatan dan perlindungan insurans yang disediakan majikan.
Bagaimanapun, Abdul Kadir berkata, pelaksanaan mekanisme berkenaan perlu mengambil kira keperluan tenaga kerja negara, termasuk memastikan peluang pekerjaan yang diberikan kepada pelarian tidak menjejaskan pekerjaan sedia ada bagi rakyat tempatan.
Beliau turut mencadangkan supaya pengalaman pengurusan pelarian Vietnam di Pulau Bidong, Terengganu, diteliti bagi mengenal pasti pendekatan yang bersesuaian untuk pengurusan pelarian pada masa ini.