BERLIN: Beberapa individu dilaporkan cedera selepas sebuah kenderaan merempuh sekumpulan orang awam berhampiran kawasan Schützenplatz di Neustadt am Rübenberge, dekat Hanover di utara Jerman, lewat malam Isnin, lapor Reuters.
Jurucakap polis berkata antara empat hingga lima mangsa mengalami kecederaan ringan dan serius, namun tiada yang dilaporkan berada dalam keadaan mengancam nyawa.
Semua mangsa telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Menurut polis, kejadian berlaku ketika anggota yang sedang menjalankan pemeriksaan trafik berhampiran lokasi menyedari insiden berkenaan dan bertindak segera.
Bagi menghentikan kenderaan tersebut, anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek.
Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri selepas meninggalkan kenderaan di tempat kejadian sebelum meloloskan diri dengan berjalan kaki.
Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek dipercayai saling mengenali, namun motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Polis turut menegaskan insiden itu tidak dilihat sebagai serangan rambang berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini.
Pihak berkuasa melancarkan operasi mengesan suspek dengan bantuan helikopter dan unit anjing pengesan, namun setakat ini belum ada tangkapan dibuat.
Polis berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian penuh kejadian serta individu yang terlibat.