Skip to main content
Advertisement

Politik

PRN Melaka: Pertama kali bertanding, Ahmad Norazril yakin BN pertahan DUN Rembia

Ahmad Norazril (foto) yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya, menambah pengalaman sebelum ini sebagai anggota jentera parti memberi pendedahan kepadanya mengenai gerak kerja pilihan raya. -Foto Astro AWANI
Ahmad Norazril (foto) yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya, menambah pengalaman sebelum ini sebagai anggota jentera parti memberi pendedahan kepadanya mengenai gerak kerja pilihan raya. -Foto Astro AWANI

Advertisement

ALOR GAJAH: Calon Barisan Nasional (BN), Ahmad Norazril Abdul Aziz yakin gabungan itu mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, bersandarkan kekuatan jentera parti, kerjasama di peringkat akar umbi serta sokongan kepimpinan di semua peringkat.

Setiausaha BN Parlimen Alor Gajah itu berkata keyakinan berkenaan turut didorong rekod khidmat kepimpinan parti yang konsisten melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, bukan hanya ketika musim pilihan raya.

Beliau berkata hubungan baik antara UMNO, MCA, MIC dan rakan-rakan BN di Parlimen Alor Gajah serta DUN Rembia menjadi antara asas penting dalam memastikan gerak kerja parti terus mendapat sokongan pengundi.

“Saya melihat dari segi kerjasama yang telah ada dan rekod prestasi antara pemimpin di peringkat akar umbi dan peringkat atasan tiada bezanya. Semuanya sentiasa melakukan gerak kerja, berbakti dan sebagainya, dan bukan hanya menunggu saat tiba pilihan raya.

“Secara konsisten bekerja untuk rakyat adalah setiap masa,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, pada Selasa.

Ahmad Norazril, yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya, menambah pengalaman sebelum ini sebagai anggota jentera parti memberi pendedahan kepadanya mengenai gerak kerja pilihan raya.

Beliau menjelaskan antara cabaran utama adalah mempersiapkan mental dan fizikal, selain merangka strategi serta menyelaras gerak kerja sebagai calon yang turut bertanggungjawab terhadap perjalanan kempen di DUN berkenaan.

“Sebelum ini, kita sebagai jentera membawa cadangan dan pandangan, tetapi kali ini kita sendiri perlu membuat keputusan bagi persiapan serta perjalanan kempen sehingga hari mengundi,” ujarnya.

Mengulas sokongan Pas terhadap pencalonannya, Ahmad Norazril berkata beliau belum mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan penyandang, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Jailani sebelum ini memenangi kerusi DUN Rembia atas tiket BN dengan majoriti lebih 800 undi sebelum menyertai Pas.

Dalam pada itu, Ahmad Norazril berkata kerjasama di antara BN dan Pas yang diteruskan ke Melaka mencerminkan kesepakatan politik yang berpotensi membawa perubahan kepada negeri itu.

Menurutnya, kerjasama berkenaan memberikan gambaran positif, terutama dalam usaha memenuhi harapan rakyat yang mahukan kesepakatan antara parti politik demi pembangunan kawasan dan negeri.

“Saya melihat penyatuan ini memberi gambaran positif kerana rakyat mahu melihat satu kesepakatan yang boleh membawa perubahan, khususnya kepada kawasan dan juga negeri.

“Saya melihat kerjasama dengan Pas ini sebagai satu kerjasama yang positif dan boleh membawa imej baharu, khususnya dalam masyarakat,” katanya.

Ahmad Norazril merupakan antara lapan muka baharu daripada 21 calon yang dipertaruhkan BN bagi PRN Melaka yang dijadual pada 14 November depan.

Tujuh lagi kerusi akan ditandingi Pas bersama rakan politiknya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai Hari Penamaan Calon.

Must Watch Video

Advertisement