Ringkasan AI
- Tiga pengarah syarikat PetraX5 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan borang pindah milik saham pada Mei lalu.
- Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM4,500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Januari depan untuk sebutan semula kes.
KUALA LUMPUR: Tiga pengarah syarikat berkaitan industri aeroangkasa, PetraX5 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan borang pindah milik saham, Mei lepas.
Ahmad Suhaimi Abdul Halim, 44; Raja Shazreen Petra Raja Azman Shah, 32, dan Mohamad Haziq Aiman Shamsuddin, 28, didakwa secara bersama memalsukan dokumen "share transfer form" bertarikh 16/02/2026 di premis syarikat PetraX5 Sdn Bhd di Jalan PJU 1A/42B, Ara Damansara, dekat sini, pada 12 Mei lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun serupa yang membawa hukuman penjara maksimum sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Kailash Sharma yang mewakili Ahmad Suhaimi dan Muhammad Amin Othman yang mewakili Raja Shazreen Petra dan Mohamad Haziq Aiman memohon jaminan lebih rendah atas alasan kesemua anak guam menanggung keluarga dan telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.
Majistret Amira Sariaty Zainal membenarkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Jan depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA