Skip to main content

Dunia

43 maut, 519 hilang susulan gelongsoran lumpur di pelabuhan sempadan Xizang

A rescue worker stands near excavators at the core disaster-hit area at Gyirong Port amid rescue efforts following the August 26 mudslide, during an organised media tour in Shigatse, Tibet Autonomous Region, China September 6, 2026. REUTERS/Tingshu Wang/Pool
Seorang petugas penyelamat berdiri berhampiran jengkaut di kawasan paling teruk dilanda bencana di Pelabuhan Gyirong ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan susulan kejadian tanah runtuh pada 26 Ogos lalu. - Foto REUTERS
Advertisement

GYIRONG: Seramai 43 orang disahkan maut manakala 519 lagi masih hilang setakat 6 petang Sabtu selepas gelongsoran lumpur melanda Pelabuhan Gyirong di sempadan China-Nepal di Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China pada 26 Ogos lepas, menurut pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab terhadap tindak balas kecemasan dan operasi menyelamat pada Ahad.

Seramai 261 warga asing dari 23 negara dikenal pasti sebagai antara mereka yang hilang, menurut pegawai dalam sidang media yang dihadiri wartawan tempatan dan asing, lapor Xinhua.

Sidang media itu diadakan selepas wartawan daripada media luar negara melawat lokasi gelongsoran lumpur di Pelabuhan Gyirong pada hujung minggu.

China melancarkan operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran susulan gelongsoran lumpur yang meragut nyawa itu akibat runtuhan glasier di kawasan altitud tinggi di Nepal.

Setakat 6 petang Sabtu, China mengerahkan lebih 2,500 anggota dan lebih 500 kenderaan untuk menyertai operasi menyelamat. Dron telah melakukan lebih 1,000 penerbangan, manakala 5.43 tan bekalan dihantar melalui udara.

Pihak berkuasa tempatan telah memberikan bantuan kepada 1,720 penduduk Nepal dari kawasan sempadan yang berada di Gyirong. 

Ramai warga Nepal yang bekerja atau menjalankan perniagaan di Gyirong terkandas di kawasan itu selepas gelongsoran lumpur memusnahkan pelabuhan sempadan berkenaan yang lazimnya digunakan mereka untuk keluar masuk China.

China turut menyediakan kemas kini harian kepada Nepal mengenai data meteorologi, hidrologi dan glasier menerusi mekanisme pemberitahuan maklumat bencana, menurut pegawai.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement