Skip to main content

Malaysia

Program KIBAR himpun lebih 10,000 belia

Mordi (tengah) burucap pada Program KIBAR Peringkat Negeri Terengganu 2026 di Kompleks Sukan Air, Pulau Duyong, pada Jumaat. - Gambar Bernama
Mordi (tengah) burucap pada Program KIBAR Peringkat Negeri Terengganu 2026 di Kompleks Sukan Air, Pulau Duyong, pada Jumaat. - Gambar Bernama

Advertisement

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) 2026 yang setakat ini telah dilaksanakan sebanyak 14 siri berjaya menarik lebih 10,000 peserta terdiri daripada golongan belia dari pelbagai kawasan dan latar belakang. 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Mordi Bimol berkata program yang dilancarkan pada April lepas itu merupakan inisiatif kementerian menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara untuk mendapatkan pandangan serta maklum balas golongan belia di peringkat akar umbi, khususnya berkaitan isu semasa, keperluan dan cabaran yang dihadapi mereka.

“Antara pengisian utama program KIBAR adalah sesi town hall khas yang memberi peluang kepada golongan belia menyuarakan pandangan dan hasrat mereka, perkongsian belia berpersatuan, pendidikan demokrasi, jejak prihatin, khidmat komuniti kesukarelawanan belia dan sukan rakyat.

Advertisement

“Kita telah menjelajah ke pelbagai kawasan termasuk di luar bandar dan pedalaman. Antara isu yang sering diutarakan adalah masalah kemudahan dan penyelenggaraan fasiliti sukan di kawasan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program KIBAR Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2026 di Kompleks Sukan Air Terengganu, di Pulau Duyong, di sini pada Jumaat. 

Mordi berkata KBS akan meneliti segala maklum balas dan aduan yang diterima untuk tindakan lanjut serta penyelesaian sewajarnya dengan melibatkan pihak berkaitan seperti agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

Advertisement

Beliau berkata secara keseluruhan KIBAR merangkumi 17 siri dengan baki tiga lagi akan diadakan di Kedah, Pahang dan Kelantan dalam masa terdekat, dengan setiap siri melibatkan kira-kira 700 peserta. 

“Pelaksanaan KIBAR dijangka memberi impak positif melalui peningkatan penyertaan belia dalam berpersatuan dan komuniti, mengukuhkan hubungan antara belia dan kepimpinan negara, membentuk belia berdaya saing serta memperkasakan suara belia dalam pembangunan nasional,” katanya. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement