MOSCOW: Kesatuan juruterbang dan Syarikat Penerbangan Scandinavia (SAS) telah mencapai persetujuan menamatkan mogok selama 15 hari yang mengakibatkan pembatalan beribu-ribu penerbangan dan menyebabkan kerugian berjuta-juta dolar, lapor Sputnik, memetik kenyataan SAS pada Selasa.

Konflik antara kesatuan juruterbang dan SAS tercetus pada awal Jun.

Mengikut anggaran syarikat penerbangan itu, mogok yang dilancarkan selama 15 hari telah menjejaskan 380,000 penumpang dan menyebabkan 3,700 penerbangan dibatalkan serta kerugian melebihi US$145 juta.

"Saya berbesar hati memaklumkan bahawa kami telah mencapai persetujuan dengan keempat-empat kesatuan juruterbang untuk SAS Scandinavia dan mogok telah berakhir.

"Akhirnya, kami boleh menyambung semula operasi penerbangan pada cuti musim panas. Saya kesal susulan begitu ramai penumpang kami telah terjejas akibat mogok ini," Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SAS Anko van der Werff dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan media.

Menerusi perjanjian 5.5, SAS akan menggaji semula 450 juruterbang yang diberhentikan kerja dan menambah bilangan penerbangan sehingga 2024.

Beberapa usaha akan dilaksanakan untuk meningkatkan produktiviti juruterbang SAS dan fleksibiliti ketika operasi bermusim, menurut kenyataan itu.

Perjanjian itu juga mensyaratkan juruterbang dan kesatuan syarikat penerbangan untuk membatalkan saman mereka terhadap SAS.

Perjanjian itu perlu disahkan oleh semua kesatuan yang terlibat serta mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS) memandangkan syarikat itu sedang menjalani penstrukturan semula kewangan dan proses itu dijangka mengambil masa beberapa minggu.

Beberapa siri gangguan penerbangan akan berterusan untuk beberapa hari akan datang, sebelum kembali pulih, menurut kenyataan itu.

SAS merupakan syarikat penerbangan terkemuka di wilayah Nordic dengan hab utama terletak di Copenhagen, Oslo dan Stockholm.

Syarikat penerbangan itu melakukan penerbangan ke pelbagai destinasi di Eropah, AS dan Asia.

--BERNAMA