KUALA LUMPUR: Persatuan Majikan Perindustrian, Komersial dan Perkhidmatan Malaysia (MICSEA) menggesa kerajaan supaya menilai dan melaksanakan dengan teliti kadar gaji minimum baharu secara berperingkat dalam Belanjawan 2027.
Persatuan itu turut melahirkan kebimbangan dan memberi amaran bahawa perniagaan mikro dan kecil mungkin sukar menanggung kenaikan gaji minimum yang mendadak.
Dalam kenyataan hari ini, MICSEA yang mewakili majikan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) itu memaklumkan mereka menerima hakikat bahawa gaji perlu seiring dengan kenaikan kos sara hidup dan kuasa beli pekerja harus ditingkatkan.
Bagaimanapun, sebarang kadar dan skala kenaikan harus mencerminkan kemampuan sebenar perniagaan dan masa yang mereka perlukan untuk menyesuaikannya. Persatuan itu berkata jurang gaji yang semakin kecil antara pekerja jarang diketengahkan dalam perbahasan awam.
Sekiranya gaji pekerja di peringkat permulaan (entry-level) dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000, hanya terdapat jurang sebanyak RM100 antara pekerja itu dengan seorang operator berpengalaman yang berpendapatan RM2,100.
Dalam hal ini, majikan pula akan tertekan untuk menaikkan gaji juruteknik, pekerja pengeluaran berkemahiran, kakitangan kawalan kualiti, ketua pasukan dan penyelia junior, atau berdepan risiko kehilangan mereka, tambahnya.
Persatuan itu mendapati kos langsung juga akan bertambah. Bagi syarikat yang mempunyai 10 orang pekerja dengan gaji mereka RM1,700 sebulan, kenaikan kepada RM1,900 bermakna tambahan RM24,000 setahun dalam gaji asas, manakala kenaikan kepada RM2,000 pula bermakna tambahan RM36,000 setahun.
Majikan juga perlu mencarum KWSP pekerja, yang ketika ini ditetapkan pada kadar 13 peratus untuk mereka yang berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan. Jika kerja lebih masa, elaun syif dan kos lain yang berkaitan dengan gaji perlu diambil kira yang menyebabkan kos keseluruhan akan meningkat.
Presiden MICSEA, YK Lai berkata: "Tambahan sebanyak RM300 pada gaji asas bukanlah bermakna jumlah kos meningkat sebanyak RM300 sahaja."
Menurut kenyataan itu, kenaikan gaji yang terlalu tinggi dan mendadak akan menyebabkan kekosongan jawatan berkurangan, kerja lebih masa dikurangkan, automasi dipercepatkan, penyumberan luar, perniagaan ditutup atau pekerjaan beralih ke sektor ekonomi tidak formal.
Pertubuhan majikan, kesatuan sekerja, PKS, persatuan industri, pakar ekonomi dan wakil perniagaan serantau mesti dilibatkan sebelum sebarang keputusan akhir dibuat. MICSEA juga menyeru agar rundingan tiga pihak diadakan melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).
Perbincangan perlu meliputi inflasi, kos sara hidup, pekerjaan, kelangsungan perniagaan, pelaburan dan perbezaan mengikut wilayah, selain kadar gaji itu sendiri.
-- BERNAMA