KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempunyai aspirasi dan keupayaan untuk membantu mencorak hala tuju teknologi global, bukannya sekadar mengikuti trend sedia ada, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal.
Beliau berkata perkara itu memerlukan usaha memperkukuh bakat dan keupayaan tempatan, menggalakkan kerjasama strategik serta menyokong perniagaan tempatan bagi membolehkan teknologi Malaysia dibangunkan, diterima pakai dan diperluas penggunaannya di dalam serta luar negara.
“Selama bertahun-tahun, kita berbangga dengan label ‘Buatan Malaysia’. Langkah seterusnya pula perlu membawa kita lebih jauh, ke arah teknologi yang dicipta, direka bentuk dan diyakini di Malaysia, serta akhirnya digunakan di seluruh dunia,” katanya pada pelancaran MIMOS Technology Preview (MTP) 2026 di sini, hari ini.
Mohammad Yusof menegaskan bahawa usaha memacu teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, sistem autonomi, teknologi semikonduktor dan pengkomputeran kuantum amat penting bukan sahaja untuk pertumbuhan ekonomi, malah bagi daya tahan negara dan daya saing masa depan.
“Inovasi tidak berakhir di makmal. Ekosistem inovasi yang berjaya juga memerlukan syarikat yang kukuh dan mampu membawa teknologi ke dalam pasaran.
“Teknologi melangkaui sempadan, maka ia memerlukan kerjasama merentasi sempadan antara kerajaan, industri, pelabur, penyelidik, akademia dan rakan teknologi global,” katanya.
Mohammad Yusof berkata MIMOS Berhad sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) gunaan negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang daripada peringkat penyelidikan sehingga ke pasaran komersial.
Setakat ini, MIMOS telah melesenkan 17 pakej teknologi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan membangunkan portfolio harta intelek, yang menyaksikan lebih 2,000 paten difailkan merentasi pelbagai bidang.
Kini, MIMOS juga mempunyai 29 versi Pakej Pelepasan Teknologi yang sedia untuk pemindahan teknologi dan pengkomersialan, manakala 22 pakej lagi sedang melalui proses penilaian tahap kesediaan teknologi menjelang akhir 2026. Nilai sebut harga yang dikeluarkan bagi inovasi berkenaan juga melebihi RM2.2 juta.
Bagi mempercepat penerimagunaan teknologi tempatan, Mohammad Yusof menggalakkan kerajaan, industri dan pihak berkepentingan menjadi pengguna awal serta rakan perintis, dengan menyediakan kemudahan rujukan yang dapat membantu inovasi Malaysia memperoleh kredibiliti pada peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS Berhad Dr Saat Shukri Embong ketika ditemui selepas acara itu berkata ukuran sebenar teknologi terletak pada keupayaannya memberikan manfaat sebenar kepada rakyat serta melindungi kepentingan negara.
“Teknologi hanya terbukti berguna jika rakyat biasa dapat merasai manfaat daripada apa yang kita lakukan. Dua perkara utama yang benar-benar mahu kita capai adalah kesejahteraan masyarakat dan kedaulatan teknologi,” katanya.
Beliau berkata pembinaan keupayaan teknologi tempatan amat penting bagi keselamatan negara dan kedaulatan data, sekali gus memastikan infrastruktur penting serta sistem data terus dilindungi di bawah bidang kuasa negara.
“Dengan menghimpunkan semua pihak ini, kita mahu mewujudkan perniagaan, mewujudkan peluang dan yang paling penting apabila mempunyai teknologi sendiri, kita melindungi negara dan kedaulatan teknologi kita,” katanya.
MTP 2026 yang bertemakan “Technology Beyond Boundaries: Advancing Malaysia’s Technology Frontier” menghimpunkan pemain utama ekosistem termasuk pelabur, pemodal teroka, pemimpin industri dan penyelidik untuk meneroka peluang dalam pengkomersialan, pelaburan dan kerjasama merentas sektor.
Acara pada tahun ini lebih memberikan pengalaman secara langsung kepada pihak berkepentingan dalam ekosistem MIMOS, termasuk peluang menyaksikan sendiri bagaimana inovasi teknologi termaju tempatan dibangunkan dan diperkenalkan dalam pasaran.
-- BERNAMA