Skip to main content
Advertisement

Dunia

Presiden Marcos gesa ASEAN berikan wanita peranan lebih besar dalam proses buat keputusan

KUALA LUMPUR, Oct 29 -- Philippine President Ferdinand R. Marcos Jr speaks to Bernama in an interview during the 47th ASEAN Summit and Related Summits at the Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yesterday._BERNAMA
Marcos berkata wanita masih kurang diwakili dalam kerajaan negara-negara ASEAN, yang disifatkannya bukan sahaja sebagai jurang perwakilan tetapi juga jurang kepimpinan. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

MANILA: Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. menggesa negara anggota ASEAN supaya memberikan peranan lebih besar kepada wanita dalam proses membuat keputusan, sambil berkata kepimpinan wanita penting bagi keselamatan, daya tahan dan kemakmuran rantau ini, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Wanita ASEAN ke-4 di Mandaluyong City pada Selasa, Marcos berkata wanita masih kurang diwakili dalam kerajaan negara-negara ASEAN, yang disifatkannya bukan sahaja sebagai jurang perwakilan tetapi juga jurang kepimpinan.

“Kepimpinan wanita bukan sesuatu yang boleh diketepikan dalam agenda serantau kita. Ia merupakan pemacu utama keselamatan, daya tahan dan kemakmuran kita,” kata Marcos.

“Ini bukan sekadar jurang dalam perwakilan; ia adalah jurang kepimpinan dari segi suara siapa yang membentuk keputusan yang memberi kesan kepada rantau kita,” katanya.

Marcos, yang memegang jawatan Pengerusi ASEAN bagi tahun ini, menggesa blok itu supaya menyediakan peruntukan lebih kukuh untuk kepimpinan, mempergiat langkah yang membuka laluan kepada wanita untuk memegang jawatan pembuat keputusan, serta mewujudkan rangkaian serantau yang menghubungkan dan menyokong pemimpin wanita di seluruh Asia Tenggara.

Beliau berkata rantau ini juga mesti memastikan wanita mendapat manfaat daripada peluang ekonomi, sambil menyatakan bahawa lebih 60 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di ASEAN dimiliki atau diuruskan oleh wanita.

Bagaimanapun, katanya, akses terhad kepada modal dan kemahiran digital terus menjadi kekangan kepada perusahaan yang diterajui wanita.

“Di bawah kepengerusian Filipina, kami mempercepatkan keterangkuman kewangan digital dan memastikan integrasi pasaran secara jelas memberi manfaat kepada perusahaan yang diterajui wanita,” kata Marcos.

Marcos turut mengaitkan kepimpinan wanita dengan keamanan dan keselamatan, dengan merujuk kepada Agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan ASEAN serta menegaskan bahawa “apabila wanita duduk di meja rundingan, perjanjian damai lebih berkekalan dan usaha pembinaan semula lebih inklusif.”

Pada masa sama, beliau menarik perhatian terhadap keganasan berasaskan gender dalam ruang dalam talian ketika ASEAN terus mengalami digitalisasi.

“Kita tidak boleh bercakap mengenai pemerkasaan sementara wanita dan kanak-kanak perempuan kita berdepan gangguan serta penderaan dalam talian,” kata Marcos.

Beliau berkata Filipina akan bekerjasama dengan ASEAN dalam membangunkan rangka kerja digital yang menjadikan ruang dalam talian lebih selamat untuk wanita dan kanak-kanak perempuan.

Marcos berkata kenyataan bersama peringkat menteri mengenai kepimpinan wanita untuk kemakmuran inklusif yang diterima pakai semasa sidang kemuncak itu harus menjadi landasan bagi tindakan konkrit dalam bidang termasuk tindakan iklim, inovasi teknologi, penyertaan ekonomi, serta keamanan dan keselamatan.

“Pengisytiharan dan sidang kemuncak sememangnya penting, tetapi tindakan merupakan ukuran sebenar kita,” katanya.

Beliau menggesa negara anggota ASEAN menterjemahkan komitmen itu ke dalam pelan pembangunan nasional dan rangka kerja serantau ke arah Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Presiden itu menggesa pemimpin wanita ASEAN supaya “terus menuntut ruang” dan menyeru rakan pemimpin agar terus berusaha sehingga kesamaan menjadi realiti dalam kehidupan wanita dan kanak-kanak di seluruh Asia Tenggara.

 -- BERNAMA-PNA

Must Watch Video

Advertisement