Skip to main content

Dunia

47 alami keracunan makanan di hotel di utara Jepun

61732806358_KeracunanPoisoning.jpg
Individu terjejas mengalami simptom termasuk muntah dan cirit-birit selepas makan di Hotel Towadaso di bandar Towada, lapor Kyodo News yang memetik kerajaan wilayah. - Gambar hiasan

TOKYO: Seramai 47 individu yang menjamu selera di sebuah hotel di Wilayah Aomori, utara Jepun, mengalami simptom keracunan makanan selepas norovirus dikesan, menurut media tempatan pada Isnin, lapor Xinhua.

Individu terjejas mengalami simptom termasuk muntah dan cirit-birit selepas makan di Hotel Towadaso di bandar Towada, lapor Kyodo News yang memetik kerajaan wilayah.

Advertisement

Norovirus dikesan dalam sampel najis yang diambil daripada tetamu dan kakitangan dapur, menurut laporan itu.

Pusat Kesihatan Awam Kamikita di Bandar Towada memutuskan insiden itu sebagai kes keracunan makanan dan mengarahkan premis berkenaan menggantung operasi selama lima hari bermula Ahad, tambahnya.

Kesemua 47 pesakit dilaporkan dalam proses pemulihan.

Pihak berkuasa memaklumkan mereka mula menerima laporan pada 11 Feb apabila seorang tetamu menghubungi sebuah lagi pusat kesihatan awam untuk melaporkan simptom seperti muntah dan cirit-birit.

Siasatan oleh Pusat Kesihatan Awam Kamikita mendapati 47 individu yang menikmati hidangan di hotel itu antara 7 hingga 11 Feb kemudian mengadu mengalami simptom keracunan makanan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video