FRANKFURT : Sekurang-kurangnya 50 orang dikhuatiri terbunuh dalam kejadian puting beliung dahsyat yang melanda Kentucky dan beberapa negeri lain di Amerika Syarikat (AS) pada lewat Jumaat dan awal pagi Sabtu.

Gabenor Kentucky, Andy Beshear menjangkakan angka kematian mungkin meningkat sehingga mencecah angka 100 selepas puting beliung tersebut meninggalkan kesan kemusnahan paling teruk terutamanya di Mayfield.

Kira-kira 110 individu berada di dalam sebuah kilang lilin di kawasan itu apabila puting beliung melanda.

Susulan itu, Beshear turut mengisytiharkan darurat dan memohon bantuan pasukan Pengawal Persekutuan turut turun padang bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Di Tennessee, cuaca buruk menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala seorang terbunuh dan lima cedera apabila puting beliung mengangkat bumbung sebuah rumah jagaan di Monette di utara Arkansas.

Di Illinois, pihak berkuasa berkata ramai penduduk terperangkap selepas sebahagian bumbung di gudang Amazon.com berhampiran St Louis runtuh lewat Jumaat selepas puting beliung dan ribut kuat melanda kawasan itu.

Jurucakap Amazon berkata syarikat itu sedang menilai keadaan dan kerosakan di gudang berkenaan.

Puting beliung turut melanda dan memusnahkan beberapa kawasan di Missouri. - Agensi


Artikel asal disiarkan di Sinar HarianPuting beliung landa lima negeri di AS