Skip to main content

Dunia

6 daripada 7 kes pembunuhan wartawan di seluruh dunia masih belum selesai - UNESCO

86% kes pembunuhan wartawan di dunia masih belum mendapat pembelaan, cerminkan risiko berterusan terhadap kebebasan media. - Foto fail/REUTERS
86% kes pembunuhan wartawan di dunia masih belum mendapat pembelaan, cerminkan risiko berterusan terhadap kebebasan media. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

MOSCOW: Kadar kes pembunuhan wartawan yang tidak dikenakan tindakan undang-undang di seluruh dunia semakin meningkat, dengan enam daripada setiap tujuh kes masih belum diselesaikan, menurut laporan baharu Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang dikeluarkan pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Sepanjang 20 tahun lepas, seramai 1,641 wartawan terbunuh, namun hanya 14 peratus daripada kes berkenaan berjaya diselesaikan. Oleh itu, kadar kes yang tidak dikenakan tindakan undang-undang di peringkat global kini mencecah 86 peratus," menurut laporan itu.

Bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa kadar semasa itu masih lebih rendah berbanding 95 peratus yang direkodkan pada 2012.

Advertisement

Laporan itu turut memaklumkan bahawa kadar kes pembunuhan wartawan yang tidak dikenakan tindakan undang-undang di negara yang tidak mengalami konflik aktif menurun kepada 77 peratus pada 2026 berbanding 94 peratus pada 2012.

UNESCO turut memetik data pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Reporters Without Borders yang merekodkan sekurang-kurangnya 160 kes kehilangan wartawan sepanjang tempoh berkenaan.

Advertisement

Selain itu, sekurang-kurangnya 29 kes wartawan diculik atau dijadikan tebusan turut dilaporkan.

NGO itu juga merekodkan sekurang-kurangnya 938 wartawan ditahan antara 2024 hingga 2025 berkaitan tugas kewartawanan mereka.

Menurut Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ), seramai 466 wartawan dipenjarakan di sekurang-kurangnya 49 negara.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

Must Watch Video

Advertisement