Skip to main content

Dunia

6 lelaki berpakaian hitam letupkan stesen minyak di Yala

serangan, Yala - Astro AWANI
Semua agensi berkaitan diarah mengawal keadaan termasuk mengesan pihak yang bertanggungjawab. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

YALA: Enam individu berpakaian hitam dipercayai menyerbu sebuah stesen minyak di Mueang Yala, Yala, dan mengarahkan kesemua kakitangan keluar sebelum mereka bertindak meletup dan membakarnya, malam tadi. 

Menurut jurucakap Pejabat Gabenor Wilayah Yala, kejadian jam 11 malam (waktu tempatan) itu hanya melibatkan sebuah stesen minyak di jalan 15 , Mukim Sateng Nok.

"Kejadian berlaku selepas sekumpulan kira-kira enam lelaki berpakaian hitam yang menaiki  dua motosikal, memberi isyarat supaya kakitangan dan penduduk tempatan meninggalkan kawasan itu.

"Mereka seterusnya mencetuskan letupan kuat yang menyebabkan api menyambar stesyen minyak berkenaan" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, Gabenor Yala, Kongsakul Chantarach, segera menggerakkan  semua agensi berkaitan mengawal keadaan termasuk mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Tiada laporan mengenai kecederaan atau kematian dalam kejadian berkenaan.

Sepanjang Januari sehingga 29 Jun 2026, sejumlah 12 insiden pembakaran dan pengeboman yang menyasarkan stesen minyak direkodkan di tiga wilayah sempadan selatan Thailand.

Daripada jumlah tersebut, 11 stesen minyak diserang pada 11 Januari 2026, manakala satu lagi dalam kejadian semalam.

Must Watch Video

Advertisement