DUNIA
67 kanak-kanak maut akibat kebuluran di Gaza sejak Oktober 2023

Pengeboman tanpa henti Israel telah memusnahkan wilayah Gaza serta menyebabkan kekurangan makanan dan penularan penyakit. - AP
ANKARA: Sekurang-kurangnya 67 kanak-kanak maut akibat kebuluran di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 ketika sekatan menyeluruh Israel ke atas wilayah itu memasuki hari ke-103 berturut-turut, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan Pejabat Media Kerajaan di Gaza pada Sabtu.
Pejabat itu memberi amaran jumlah kematian berkemungkinan meningkat dengan mendadak, memandangkan lebih 650,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun kini menghadapi kekurangan zat makanan yang teruk dan mengancam nyawa dalam minggu-minggu akan datang berikutan sekatan berterusan terhadap bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api.
"Kebuluran kini meragut nyawa yang tidak terkorban akibat pengeboman," menurut kenyataan itu, yang menyifatkan sekatan berkenaan sebagai antara bentuk hukuman kolektif paling ekstrem dalam sejarah moden.
Pejabat itu turut memaklumkan bahawa "puluhan lagi kematian dicatatkan hanya dalam tempoh tiga hari lepas sahaja, ketika tentera Israel terus menyekat kemasukan tepung gandum, susu formula bayi serta bekalan makanan dan perubatan penting."Israel didakwa "dengan sengaja melaksanakan dasar kebuluran besar-besaran."
Setakat ini, sekitar 1.25 juta penduduk Gaza sedang berdepan kebuluran kritikal, manakala 96 peratus daripada populasi termasuk lebih sejuta kanak-kanak mengalami kekurangan makanan yang serius, menurut pejabat berkenaan.
Ia meletakkan tanggungjawab penuh ke atas Israel atas "kempen kebuluran yang sistematik dan terancang" serta menuding kesalahan moral dan undang-undang kepada penyokong antarabangsa Israel kerana terus menyokong atau berdiam diri.
"Kami memberikan amaran: ini adalah hukuman mati besar-besaran yang sedang berlaku di depan mata dunia," katanya. "Campur tangan antarabangsa segera bukan lagi satu pilihan - ia persoalan hidup atau mati."
Walaupun terdapat gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, tentera Israel meneruskan serangan kejam ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, mengorbankan lebih 57,800 rakyat Palestin setakat ini, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pengeboman tanpa henti itu memusnahkan wilayah terbabit serta menyebabkan kekurangan makanan dan penularan penyakit.
Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangannya ke atas wilayah itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami