DUNIA
7 maut akibat bumbung runtuh di Punjab, Pakistan

Dalam kejadian bumbung runtuh di sebuah akademi swasta di Punjab pada Sabtu, tujuh mayat berjaya dikeluarkan daripada runtuhan manakala beberapa orang yang cedera dihantar ke hospital berdekatan. - Foto Hafizabad Rescue 1122
ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya tujuh orang, termasuk lima kanak-kanak, maut dan beberapa lagi cedera apabila bumbung sebuah akademi swasta runtuh di Punjab, Pakistan pada Sabtu, menurut polis, lapor Xinhua.
Ketua Polis Daerah Hafizabad, Atif Nazir Kadhar memaklumkan, kejadian berlaku di Daerah Hafizabad dan wanita yang mengendalikan akademi berkenaan serta anak lelakinya turut maut dalam insiden itu.
Pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat.
Tujuh mayat berjaya dikeluarkan daripada runtuhan manakala beberapa orang yang cedera dihantar ke hospital berdekatan, menurut laporan.Siasatan dilancarkan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Siasatan awal mendapati struktur bangunan dipercayai lemah akibat hujan lebat baru-baru ini, menyebabkan ia runtuh.
Lebih 1,000 orang maut di seluruh Pakistan apabila hujan monsun lebat mengakibatkan banjir di beberapa kawasan, menenggelamkan kawasan rendah, merosakkan infrastruktur dan mengakibatkan ribuan penduduk berpindah, menurut pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara Pakistan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami