ISLAMABAD: Afghanistan bakal melancarkan kempen vaksinasi polio secara besar-besaran pada Isnin yang bermatlamat untuk melindungi lebih 8.8 juta kanak-kanak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kempen itu akan berlangsung selama empat hari, umum Kementerian Kesihatan pada Ahad.

Bagaimanapun, di 42 daerah yang berisiko tinggi kempen itu akan dijalankan selama seminggu.

Di daerah yang berisiko tinggi, kanak-kanak di bawah umur 10 tahun akan divaksinasi manakala di kawasan lain umur maksimum untuk mendapatkan suntikan berkenaan ialah lima tahun.

Baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran bahawa migran yang kembali dari Pakistan telah meningkatkan risiko penularan virus.

Menteri Kesihatan kerajaan Taliban, Qalandar Ibaad, berkata jumlah kes positif yang dicatatkan tahun ini sangat membimbangkan dan meminta semua rakyat, termasuk ibu bapa untuk mengambil langkah-langkah pencegahan.

-- BERNAMA