Afrika Selatan benarkan kemasukan 153 pelarian Palestin

Rakyat Palestin layak menikmati pengecualian visa 90 hari untuk memasuki Afrika Selatan. - Gambar fail/ AP
JOHANNESBURG: Pihak berkuasa Afrika Selatan membenarkan kemasukan 153 pelarian Palestin pada Khamis selepas mereka tiba dengan penerbangan sewa khas dari Kenya untuk memohon suaka, meskipun sebelum itu ditolak kerana gagal melepasi pemeriksaan imigresen, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Pihak berkuasa Afrika Selatan membenarkan kemasukan 153 pelarian Palestin selepas tiba dari Kenya untuk memohon suaka, walaupun sebelum ini ditolak kerana masalah imigresen.
- Pelarian tersebut tidak dapat jelaskan tempoh tinggal atau alamat penginapan, dan terpaksa menunggu lebih 10 jam di lapangan terbang sebelum keputusan dibuat.
- Insiden ini menimbulkan kemarahan aktivis tempatan serta Afrika Selatan mendapat sokongan dari Gift of the Givers Foundation untuk menempatkan pelarian tersebut.
Mereka terpaksa menunggu lebih 10 jam di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo, Johannesburg sementara menunggu keputusan sama ada dibenarkan masuk atau diarahkan berpatah balik.
Insiden itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan aktivis tempatan yang lama dikenali sebagai penyokong kuat perjuangan Palestin.
Pada 29 Dis 2023, Afrika Selatan memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, menuduh Israel gagal mematuhi kewajipan di bawah Konvensyen Genosid 1948.
Menurut BMA, pihaknya menerima surat daripada organisasi bantuan kemanusiaan "Gift of the Givers Foundation" yang menawarkan untuk menempatkan kumpulan pelarian berkenaan sepanjang tempoh berada di negara itu.
Masiapato berkata rakyat Palestin layak menikmati pengecualian visa 90 hari untuk memasuki Afrika Selatan dan kumpulan itu telah diproses seperti biasa serta perlu mematuhi semua syarat kemasukan.
"Pada waktu kemasukan dibenarkan, 23 daripada 153 orang meneruskan perjalanan (transit) ke destinasi akhir mereka," menurut BMA.
Baki 130 lagi kekal berada di Afrika Selatan di bawah jagaan "Gift of the Givers Foundation".
Pengasas dan pengerusi organisasi itu, Imtiaz Sooliman, berkata Israel tidak meletakkan cop keluar pada pasport warga Palestin ketika mereka berlepas.
"Israel sengaja tidak mengecop pasport mereka untuk menambah kesengsaraan golongan miskin ini di negara asing," katanya.
Kumpulan pelarian itu meluahkan rasa lega dan syukur apabila akhirnya dibenarkan turun dari pesawat, sebelum disambut keluarga, rakan dan kumpulan pro-Palestin.
Menteri Luar Afrika Selatan, Ronald Lamola mengambil inisiatif menulis surat kepada Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri bagi mengecualikan keperluan cop keluar dan membenarkan kemasukan mereka.
Pesawat berkenaan adalah yang kedua membawa pelarian Palestin ke Afrika Selatan.
Pesawat pertama tiba lewat bulan lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo dengan membawa 176 warga Palestin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


