Afrika Selatan catat pengurangan kemiskinan ketara dalam tempoh 17 tahun

Walaupun kemiskinan keseluruhan semakin berkurangan, jurang antara kumpulan penduduk masih ketara, dengan Black African merekodkan tahap kemiskinan tertinggi. - Gambar hiasan/AP
JOHANNESBURG: Statistik Afrika Selatan (Stats SA) pada Khamis berkata negara itu mencatat kemajuan ketara dalam usaha mengurangkan kemiskinan dari 2006 hingga 2023, lapor Xinhua.
Menurut laporan bertajuk "Poverty Trends in South Africa: An examination of absolute poverty between 2006 and 2023" yang diterbitkan oleh Stats SA, bahagian penduduk yang hidup di bawah paras kemiskinan asas - iaitu 1,300 rand (kira-kira AS$77) sebulan seorang berdasarkan harga 2023 - menurun kepada 37.9 peratus pada 2023, iaitu pengurangan 19.6 mata peratusan sejak 2006, sekali gus mengurangkan bilangan penduduk miskin kira-kira 4.1 juta orang.
Mengikut wilayah, KwaZulu-Natal, Eastern Cape, North West dan Limpopo terus mencatat bilangan kemiskinan tertinggi, merangkumi hampir 60 peratus daripada keseluruhan penduduk miskin, manakala Western Cape dan Gauteng merekodkan kadar kemiskinan terendah.
Laporan itu menunjukkan pengurangan paling ketara berlaku dalam kalangan penduduk Black African dan Coloured, dengan kadar kemiskinan untuk Black African menurun daripada 67.3 peratus pada 2006 kepada 43.8 peratus pada 2023, manakala kadar bagi Coloured menurun daripada 42.8 peratus kepada 24.6 peratus bagi tempoh sama.
Bagaimanapun, laporan itu memberi amaran bahawa walaupun kemiskinan keseluruhan semakin berkurangan, jurang antara kumpulan penduduk masih ketara, dengan Black African - meskipun mencatat penurunan besar - terus merekodkan tahap kemiskinan tertinggi berbanding kumpulan lain.
Bagi kemiskinan tegar, yang diukur berdasarkan paras kemiskinan makanan sebanyak 777 rand (kira-kira US$46) sebulan seorang berdasarkan harga 2023, peratusan rakyat Afrika Selatan yang hidup dalam kemiskinan tegar menurun daripada 27.4 peratus pada 2006 kepada 17.6 peratus pada 2023, iaitu pengurangan kira-kira 2.2 juta orang.
Agensi itu berkata negara berkenaan berada di landasan yang betul, dan pelaburan berterusan dalam perlindungan sosial, penyediaan pekerjaan, pendidikan serta langkah sokongan ekonomi sedang menunjukkan hasil yang nyata.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


