WASHINGTON: Beberapa ahli parlimen Amerika Syarikat (AS) dilapor sedang menggerakkan usaha mengguna pakai Pindaan Ke-25 Perlembagaan negara itu bagi menyingkirkan Presiden Donald Trump daripada jawatan.
Langkah drastik itu diambil susulan ancaman terbaharu Trump untuk menyerang infrastruktur awam di Iran, yang menurut pakar undang-undang antarabangsa, boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva.
Advertisement
Gesaan tersebut mula disuarakan oleh Senator Chris Murphy dari Connecticut yang menyifatkan ancaman menyasarkan fasiliti awam sebagai tindakan tidak wajar, selain mendesak barisan Kabinet dan White House mempertimbangkan kelayakan mental Presiden untuk terus memimpin.
Ancaman Trump itu dilaporkan dibuat selepas beliau memberi amaran akan memusnahkan stesen janakuasa dan jambatan di Iran sekiranya Selat Hormuz tidak dibuka semula kepada lalu lintas perkapalan antarabangsa.
Pindaan Ke-25 Seksyen 4 membolehkan Naib Presiden dan majoriti ahli Kabinet untuk mengisytiharkan Presiden tidak lagi mampu menjalankan tugas, namun pelaksanaannya memerlukan sokongan padu daripada pegawai kanan pentadbiran beliau sendiri.
Di bawah undang-undang antarabangsa, sebarang serangan sengaja ke atas objek yang amat penting bagi kelangsungan hidup penduduk awam seperti sistem bekalan air, hospital dan infrastruktur tenaga adalah dilarang sama sekali.
Setakat ini, pentadbiran di White House belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung tekanan politik terbaharu itu, ketika ketegangan di Asia Barat dilaporkan terus memuncak masuk hari ke-37 konflik.
Penganalisis politik berpendapat usaha penyingkiran melalui pindaan tersebut sukar dicapai memandangkan Naib Presiden JD Vance dan ahli Kabinet lain masih menunjukkan kesetiaan yang tinggi kepada kepimpinan Trump.