NEW YORK: Ahli parlimen Republikan Matt Gaetz pada Isnin meneruskan usahanya untuk mengulingkan Speaker Kevin McCarthy daripada jawatan kepimpinan tertinggi Dewan Perwakilan dengan menawarkan usul untuk mengosongkan kerusi berkenaan.

Masih belum jelas bagaimana cabaran terhadap McCarthy akan dijalankan tetapi usaha itu merupakan ancaman paling serius terhadap pemimpin Republikan California itu setakat ini, seperti yang dilaporkan oleh Xinhua memetik laporan CNN.

Usaha menyingkirkan McCarthy akan memerlukan undian majoriti untuk berjaya.

Gaetz, yang berasal dari Florida dan sering mengkritik McCarthy, telah mendesak untuk menyingkirkan speaker dengan menggunakan mekanisme kongres untuk mengosongkan kerusi itu yang membolehkan mana-mana ahli parlimen mempunyai keupayaan untuk memanggil pemilihan speaker baharu, walaupun kepimpinan Parti Republikan mempunyai beberapa pilihan untuk menghentikan atau menghalang usaha sedemikian.

Menurut laporan media tempatan, konservatif Republikan telah mengancam untuk menjatuhkan McCarthy kerana bergantung pada undi Demokrat, seperti yang dilakukannya pada Sabtu untuk memajukan undang-undang yang mengelakkan penutupan kerajaan.

Gaetz juga menyebut kemungkinan Dewan mengadakan undian mengenai bantuan kepada Ukraine sebagai alasan lain untuk menjatuhkannya.

"Ahli Parti Republikan mungkin akan mengundi secara berbeza dalam usul untuk mengosongkan kerusi jika mereka mendengar apa yang dipegang oleh speaker tentang perjanjian rahsia beliau dengan (Presiden) Joe Biden mengenai Ukraine," katanya.

--BERNAMA-XINHUA