HONG KONG: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Hong Kong pada Rabu untuk memulakan lawatan rasmi ke China.

Beliau diiringi isteri Datin Seri Hamidah Khamis.

Ketibaan beliau dan delegasi di hotel penginapan di Hong Kong disambut Timbalan Menteri Luar, Datuk Muhamad Alamin dan pegawai kanan kerajaan.

Lawatan rasmi ini adalah sebahagian daripada pertukaran lawatan peringkat tinggi yang dirancang untuk tahun ini, bertujuan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Di Beijing, Ahmad Zahid akan mengadakan perbincangan bersama Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang dan Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong.

Pada Khamis,  Ahmad Zahid dijangka bertemu Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), John LeeKa-Chiu.

Hubungan diplomatik rasmi Malaysia-China bermula dengan Perdana Menteri Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein melakar sejarah memeterai Pernyataan Bersama dengan Perdana Menteri Pertama China, Chou En-Lai, pada 31 Mei 1974, sekali gus menjadi asas perkongsian kukuh.

China muncul sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009. China juga menduduki tempat kelima sebagai pelabur terbesar di Malaysia.