KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh kawalan keselamatan sempadan dan pintu masuk antarabangsa negara menerusi pengisian perjawatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) secara berfasa serta pemantauan berterusan oleh Pasukan Polis Marin.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata bagi menangani kekurangan anggota AKPS, kementerian bersama-sama agensi itu turut mengoptimumkan penugasan, memperkukuh kerjasama dengan agensi teras serta memanfaatkan penggunaan teknologi dan meningkatkan kemahiran anggota.
Beliau berkata KDN dan AKPS juga sedang menghalusi keperluan perjawatan di setiap pintu masuk berdasarkan fungsi dengan pembentukan model perjawatan inklusif sebelum dikemukakan kepada agensi pusat untuk pertimbangan.
“Langkah berterusan ini kita harap dan dijangka dapat mengurangkan jurang kekuatan anggota serta peringkat penyelarasan dengan keperluan operasi AKPS sendiri,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas tentang kawalan sempadan maritim, Shamsul Anuar berkata Pasukan Polis Marin menjalankan rondaan dan pemantauan 24 jam menerusi operasi rutin, berkala dan terancang di kawasan titik panas (hotspot) aktiviti penyeludupan migran, barang kawalan serta pencerobohan perairan termasuk di sempadan Malaysia–Thailand.
Beliau berkata kerajaan turut meluluskan peruntukan RM70 juta di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-13 bagi pembinaan Pos Batu Putih, Perlis di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan skop pembinaan water post untuk penempatan aset.
Sementara itu, berhubung kawalan kemasukan warga asing dan penyalahgunaan pas lawatan sosial, Shamsul Anuar berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan sebanyak 11,808 operasi hingga Oktober lepas, melibatkan pemeriksaan terhadap 155,458 individu dengan 70,155 pendatang tanpa izin ditahan.
Beliau berkata JIM turut mengenakan sekatan sistem terhadap 1,561 Pas Lawatan Kerja Sementara yang dikenal pasti terlibat dalam kes pemalsuan pas.
Mengenai isu kesesakan penjara, beliau berkata kementerian telah mengenal pasti enam projek pembangunan bagi menyediakan kapasiti penempatan tambahan hingga 3,600 orang, yang meliputi Penjara Pusat Kota Baharu, Penjara Lahad Datu, Kompleks Latihan Tenun Pahang Diraja di Penjara Penor, Penjara Sibu, Pusat Reintegrasi Bagan Datuk dan Penjara Kluster Dadah Sungai Buloh.
Selain itu, kerajaan turut mengoptimumkan penggunaan kapasiti penjara sedia ada melalui pengurusan dan pengagihan penempatan banduan dengan dua pendekatan utama, iaitu menambah kapasiti fizikal penjara dan mengurangkan kebergantungan pada penempatan dalam institusi melalui program pemulihan dan reintegrasi banduan.
Terdahulu, ketika sesi perbahasan, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan isu kawalan dan keselamatan sempadan negara, khususnya berkaitan pengawasan kawasan maritim serta usaha pembanterasan penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin.
Antaranya, Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) yang mempersoalkan kecukupan peruntukan bagi memperkukuh penempatan aset APMM di kawasan berisiko tinggi di perairan Sabah dan Sarawak, selain tahap pelaksanaan integrasi sistem radar dan dron pengawasan bagi membolehkan pencerobohan dikesan lebih awal.
Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) pula menggesa kerajaan mengetatkan kawalan pintu masuk dan sempadan negara termasuk menerusi pendaftaran dalam talian bagi mengatasi isu pendatang asing, penggunaan dokumen palsu serta kemasukan melalui laluan tikus.
Sementara itu, Teresa Kok (PH-Seputeh) menyokong pertambahan peruntukan bagi segmen kawalan dan perlindungan sempadan kepada AKPS, khususnya bagi pemasangan pagar dan kamera litar tertutup (CCTV) di sempadan Malaysia–Thailand untuk mengekang penyeludupan barangan bersubsidi.
Dalam perbahasan sama, beberapa Ahli Parlimen termasuk Hulu Langat, Bukti Bendera, Tenom dan Kepong menzahirkan rasa sedih serta ucapan takziah kepada anggota polis yang cedera terputus tangan akibat ditetak warga asing semalam sambil mendoakan kesembuhannya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan KDN berjumlah RM21,982,691,300 bagi 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahaskan 24 Ahli Parlimen.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.
-- BERNAMA