PARIS: Kecerdasan buatan (AI) ialah faktor pendorong serta risiko terhadap ekonomi global, menurut Laporan Interim Prospek Ekonomi terkini yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada Rabu, lapor Xinhua.
Pelaburan dan pengeluaran berkaitan AI terus berkembang pesat di banyak ekonomi pada separuh pertama 2026, menurut laporan itu, sekali gus mengimbangi sebahagian daripada kesan ekonomi keseluruhan akibat konflik di Asia Barat.
Sementara itu, pertumbuhan ekonomi global perlahan kepada kadar tahunan sebanyak 2.6 peratus dalam tempoh tersebut, berbanding 3.6 peratus pada separuh kedua 2025.
Menurut OECD, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar di beberapa negara pada suku kedua 2026 telah dirangsang oleh pelaburan dalam infrastruktur pusat data dan peralatan teknologi, yang memacu pertumbuhan di negara-negara pengeluar utama bagi teknologi dan komponen pembinaan berkaitan.
Pertumbuhan ekonomi global diunjurkan pada kadar 2.9 peratus pada 2026, menurut OECD, dan 3.0 peratus pada 2027. Dalam banyak ekonomi G20, perbelanjaan dan pengeluaran berkaitan AI akan terus menyokong pertumbuhan, kerap mengatasi pelaburan yang agak lemah dalam sektor perniagaan yang lain.
Menurut laporan itu, pengembangan lanjut pelaburan berkaitan AI dan pengeluaran berasaskan teknologi merentas pelbagai negara boleh memberikan dorongan tambahan jangka pendek terhadap pertumbuhan ekonomi. Teknologi AI juga berpotensi membawa peningkatan produktiviti yang ketara sebaik sahaja ia disepadukan secara berkesan ke dalam proses pengeluaran.
Bagaimanapun, OECD memberi amaran bahawa kekurangan tenaga pada masa hadapan boleh memberi kesan buruk khususnya kepada industri yang sedang berkembang pesat seperti AI, yang sangat bergantung pada tenaga.
Terdapat risiko bahawa pulangan pelaburan AI mungkin mengecewakan atau mengambil masa lebih lama untuk direalisasikan berbanding jangkaan semasa, terutamanya jika timbul kekangan bekalan bagi input seperti elektrik atau semikonduktor termaju, menurut laporan itu.
Kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat berkaitan AI juga boleh memperlahankan pembangunan atau penerimaannya. Pergantungan firma AI terhadap penggunaan kelebihan dan struktur pembiayaan yang semakin kompleks, ditambah pula dengan tanda-tanda peningkatan risiko kredit, boleh memburukkan lagi sebarang perubahan mendadak dalam sentimen pelabur, tambah laporan itu.
-- BERNAMA-XINHUA