Seorang murid perempuan berusia lima tahun menemui ajal dalam keadaan menyedihkan selepas ditemui lemas dalam lubang takungan najis di sebuah sekolah di Afrika Selatan.

Lumka Mkhethwa, pada mulanya disyaki diculik selepas dia hilang dari sekolahnya di Bizana, Timur Cape.

Polis yang melancarkan gerakan mencari Lumka menemui mayatnya sehari kemudian dalam lubang takungan najis selepas ia dikeringkan.

Mangsa dipercayai maut akibat terjatuh ketika menggunakan tandas yang dibina dengan lubang takungan najis terletak betul-betul di bawahnya.

“Kematian murid itu dalam keadaan tragis adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan sangat mengganggu,” kata Menteri Pendidikan Afrika Selatan, Angie Motshekga.

Ia bukan kejadian pertama membabitkan murid sekolah yang maut akibat terjatuh ke dalam lubang takungan najis di Afrika Selatan yang masih menggunakan kemudahan tandas yang usang.

Empat tahun lalu, Michael Komape juga seorang murid berusia lima tahun, ditemui mati akibat terjatuh ke dalam lubang takungan najis ketika menggunakan tandas di sekolahnya di Polokwane. - Agensi