LADANG yang pernah dimiliki oleh Raja Pop, Michael Jackson di California yang juga dikenali sebagai 'Neverland' telah menemui pemilik baharu iaitu ahli perniagaan jutawan, Ron Burkle.

Menurut jurucakap Burkle, tanah berkeluasan 2,700 ekar di Los Olivos itu dilihat sebagai peluang pembangunan hartanah.

Wall Street Journal melaporkan harta itu dijual pada harga AS$22 juta (RM89 juta) kepada Burkle yang juga merupakan rakan bintang pop itu dan pengasas bersama syarikat pelaburan Yucaipa Companies.

Harga permintaan tanah itu adalah AS$100 juta pada tahun 2016 kemudian turun menjadi AS$67 juta setahun kemudian, menerusi diskaun yang dikatakan agak tinggi.

Mendiang Jackson mengubah suai kawasan berpagar rumahnya kepada lokasi istirehat bertemakan kisah dongeng lengkap dengan permainan di taman ria seperti roda Ferris dan laluan kereta mainan.

Jackson juga ketika hayatnya kerap menghasilkan lagu-lagu hit di lokasi berkenaan.

membeli hartanah itu pada harga AS$19.5 (RM19 juta) pada sekitar 1980-an.

Bagaimanapun, kawasan itu dijenamakan semula sebagai 'Sycamore Valley Ranch' selepas kematian Jackson pada 2009.

Selain kediaman utama seluas 12,500 kaki persegi dan rumah kolam renang seluas 3,700 kaki persegi, tanah itu mempunyai binaan bangunan yang berasingan selain panggung wayang 50 tempat duduk serta sebuah studio tarian.

Ciri-ciri lain di ladang itu adalah stesen kereta api gaya Disney, rumah api dan gudang.

Jurucakap Burkle berkata, jutawan itu pada awalnya memberi perhatian kepada Tasik Zaca bersebelahan dengan ladang itu untuk dijadikan Soho House yang baharu, sebuah kelab eksklusif dengan cawangan di Los Angeles, Miami, New York dan Toronto.

Burkle akhirnya memutuskan lokasi itu terlalu jauh dan mahal untuk sebuah kelab.

Burkle adalah pemegang saham pengendali Soho House.

Setelah Burkle melihat tanah ladang milik bekas Raja Pop itu dari udara, dia mengemukakan tawaran untuk membelinya.

Superstar dunia itu meninggal dunia pada 25 Jun 2009 akibat serangan jantung.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, mendiang dilaporkan pengsan di rumah di Los Angeles.

Kematiannya diratapi oleh jutaan peminatnya di seluruh dunia kerana mendiang mencipta fenomena luar biasa sepanjang beberapa dekad menerusi lagu-lagu popularnya selain gaya hidupnya.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !