Skip to main content

Dunia

Aktiviti gunung berapi di Indonesia berterusan, beberapa letusan direkodkan

51656822705_GununglleLewotolok.jpg
Letusan terbaharu Gunung Ili Lewotolok menghasilkan kolum abu tebal berwarna kelabu yang mencapai ketinggian kira-kira 700 meter di atas puncak dan bergerak ke arah barat. - Gambar fail
Advertisement

JAKARTA: Beberapa letusan gunung berapi direkodkan di seluruh Indonesia pada Jumaat, dengan Gunung Ili Lewotolok meletus enam kali dan menghamburkan abu setinggi 700 meter di atas puncaknya, manakala Gunung Semeru dan Gunung Ibu turut kekal aktif.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) memaklumkan Ili Lewotolok di Nusa Tenggara Timur, yang kekal pada Tahap II (Waspada) dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat Indonesia, merekodkan letusan antara 12.57 tengah malam hingga 9.06 pagi waktu tempatan.

Letusan terbaharu menghasilkan kolum abu tebal berwarna kelabu yang mencapai ketinggian kira-kira 700 meter di atas puncak dan bergerak ke arah barat, manakala letusan terdahulu menghamburkan abu setinggi antara 500 hingga 600 meter di atas puncak ke arah barat dan barat laut, menurut data yang disiarkan di laman sesawang pusat itu.

Menurut data berkenaan, Gunung Semeru di Jawa Timur, yang kekal pada Tahap III (Siaga), iaitu tahap amaran kedua tertinggi, meletus empat kali antara 12.26 tengah malam hingga 6.16 pagi, manakala Gunung Ibu di Maluku Utara, yang kekal pada Tahap II, merekodkan tiga letusan antara 12.49 tengah malam hingga 8.58 pagi.

Sementara itu, Badan Geologi memaklumkan Anak Krakatau di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera kekal pada Tahap III dan terus menunjukkan aktiviti gunung berapi selepas berakhirnya letusan berterusan selama kira-kira 25 jam.

"Aktiviti gunung berapi itu secara keseluruhan menunjukkan trend menurun, walaupun kemungkinan berlaku letusan selanjutnya kekal tinggi," menurut agensi itu dalam hantaran terbaharu di media sosial, sambil menambah bahawa zon larangan sejauh tiga kilometer di sekitar kawah aktif masih dikekalkan.

Sementara itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memaklumkan imej satelit tidak mengesan abu gunung berapi daripada Anak Krakatau atau Gunung Ibu, walaupun litupan awan boleh mengaburkan pemerhatian.

Dalam perkembangan berasingan, pihak berkuasa Taman Negara Bromo Tengger Semeru memaklumkan sebahagian kawasan pelancongan Gunung Bromo di Jawa Timur ditutup mulai Khamis sehingga diberitahu kelak susulan kebakaran di Savana Pengol ketika operasi pemadaman kebakaran masih dijalankan.

Pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan memaklumkan pintu masuk Jemplang di Malang ditutup kepada pengunjung, manakala pelancong masih boleh memasuki kawasan berkenaan melalui Cemoro Lawang di Probolinggo dan Wonokitri di Pasuruan, dengan akses terhad ke Lautan Pasir dan Savana Watangan.

Menurut pihak berkuasa itu, laluan pengangkutan Malang-Lumajang kekal dibuka, manakala pengunjung digesa menjauhi kawasan terjejas dan mengelakkan aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran baharu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement