Pejabat Al-Jazeera di Yaman telah dipaksa tutup oleh tentera kerajaan negara itu pada Selasa.

Tanpa diberikan sebab yang kukuh, pasukan tentera yang berkhidmat untuk pihak berkuasa keselamatan berpengkalan di Taiz, bandar di wilayah selatan Yaman, telah menyerbu pejabat Al-Jazeera di bandar terbabit dan memaksa pekerja untuk menutup pejabat itu.

Dalam satu kenyataan, syarikat Al Jazeera Media Network mengutuk sekeras-kerasnya penutupan cawangan pejabatnya di Yaman itu.

“Pihak kami turut menggesa pihak berkuasa di Bandar Taiz untuk menarik balik arahan menutup pejabat Al Jazeera dan membenarkan wartawan kami untuk meneruskan tanggungjawab professional mereka tanpa sebarang halangan dan ugutan,” katanya.

Ini bukan kali pertama wartawan Al Jazeera menjadi sasaran di bandar itu.

Tiga pekerja syarikat media gergasi antarabangsa itu pernah menjadi mangsa culik di Bandar Taiz pada Januari tahun lepas.

Pekerja media terpaksa berdepan pelbagai cabaran sukar apabila membuat laporan di kawasan berkonflik atau sedang mengalami peperangan seperti Yaman.

Al Jazeera melaporkan pada bulan lalu, pemberontak Houthi telah menyerang sebuah stesen televisyen tempatan Al Youm dan menjadikan lebih 12 pekerja syarikat itu sebagai tebusan.

Taiz telah menjadi sebuah kawasan panas untuk peperangan berterusan di Yaman kerana lokasi strategiknya di tengah-tengah ibu negara Sanaa dan wilayah selatan.

Yaman dilanda krisis peperangan sejak tahun 2014 yang telah menyebabkan jutaan rakyatnya berisiko menjadi mangsa kebuluran dan penyakit.

Negara itu juga diserang oleh pakatan yang diketuai Arab Saudi sejak 2015 yang mahu menghapuskan kewujudan pemberontak Houthi.

Pemberontak Houthi masih menguasai sebahagian dari Yaman termasuk Sanaa dan wilayah utara negara itu.

Dijangkakan lebih 100,000 rakyat Yaman telah terkorban sejak konflik ini bermula dan kebanyakkan yang masih hidup berdepan risiko wabak kolera yang telah meragut lebih 2,000 nyawa dan menjangkiti satu juta warganya sejak April 2017.