IMPROVISED Explosive Device (IED) atau Alat Letupan Termampat merupakan senjata pilihan utama yang digunakan oleh mana-mana kumpulan teroris di dunia ini. Ianya boleh dihasilkan dengan cukup mudah dari bahan-bahan yang sedia ada di rumah hinggalah bahan senjata api tinggalan perang. Bahan asasnya tidak sukar untuk didapati dan mudah diperolehi dari premis atau kedai-kedai di persekitaran yang didiami. Malah, kos untuk menyediakan IED juga cukup murah kerana ianya bukanlah bahan terlarang atau terkawal.

Bukan sahaja teroris, tetapi banyak perjuangan non-konvensional dilakukan dengan kedah IED yang dihasilkan secara amatur tetapi cukup berkesan. Pejuang pemisah Tamil Tiger (LTTE) di Sri Lanka juga telah menggunakan IED secara besar-besaran dalam pelbagai aktiviti teroris yang dilakukan sekitar 1980an hingga 2000. Tentera dan rakyat Vietnam yang berperang dengan Amerika dan komunis juga telah menghasilkan pelbagai IED yang sofistikated dengan cara yang sangat mudah. Akan tetapi kesemua perbuatan ini adalah merbahaya kerana kemungkinan berlakunya letupan pra-matang yang boleh mengorbankan nyawa. Bagi mereka, ini sahajalah cara yang ada untuk memastikan survival perjuangan yang digerakkan pada ketika itu.

Sebenarnya, IED merupakan bahan letupan yang dihasilkan dan digunakan dalam peperangan bukan konvensional. Ianya dikenali sebagai bahan utama yang digunakan dalam aktiviti terrorisme di seluruh dunia. Digunakan di kebanyakkan negara dalam serangan secara gerila dan bom yang dipasang di tepi-tepi jalan serta di kenderaan pick-up dan motosikal seperti di Thailand.

Satu lagi jenis bom yang mudah dipasang dan digunakan secara besar-besaran di kalangan teroris adalah Homemade Explosive (HME). Bom jenis ini dihasilkan oleh individu secara perseorangan atau berkumpulan dan dilaksanakan di kawasan yang dalam situasi peperangan. Bom ini juga dihasilkan dalam batang paip dan bekas makanan (tupperware) yang dilengkapi dengan sedikit wayar dan picu peledak yang mudah.

Asalnya, metod penyediaan IED adalah merupakan ikhtiar hidup bagi pasukan khas atau komando yang perlu menggunakan apa sahaja bahan sedia ada untuk survival dan memastikan objektif operasi mampu dicapai. Akan tetapi kaedah ini telah disebar luaskan melalui pelbagai medium komunikasi sehingga memberikan kesan besar terhadap kemanusiaan.

Hari ini, media sosial seperti ‘youtube’ dan ‘facebook’ mempunyai pelbagai maklumat berkaitan penyediaan IED yang dengan mudah boleh diakses oleh mana-mana pihak. Malah, filem barat termasuklah ‘Mc Gyver’ dan ‘Mission Impossible’ juga ada menyelitkan babak bagaimana menyediakan IED dan cara-cara yang terbaik tetapi amat berkesan untuk memusnahkan musuh-musuh yang dihadapinya.

Pendidikan khas untuk penyediaan IED bagi kumpulan teroris dapat dikesan sejak tahun 1970an hingga kini. Al-Qaeda telah memasukkan silibus penyediaan IED ke dalam siri-siri latihan yang diadakan di Maktab Al-Khidamah, Afghanistan sekitar 1970-1980an. Pengetahuan yang dimiliki oleh ahli-ahli Al-Qaeda ini telah disebarluaskan ke seluruh dunia seusai perang Aghanistan-Russia. Pejuang-pejuang Jihad yang telah dilengkapi pengetahuan menghasilkan IED telah pulang ke negara masing-masing dan mula memindahkan maklumat ini ke dalam sel-sel kecil. Keadaan yang sama juga berlaku di Malaysia apabila tokoh-tokoh yang pulang dari Asia Barat, terutamanya, telah memindahkan pengetahuan mereka berkaitan IED ini ke dalam usrah-usrah terpencil dan ‘rahsia’. Malah, mereka semakin berani apabila melakukan latihan di kawasan pinggir hutan dan tepi laut sebagaimana yang dilakukan oleh kumpulan Al-Maunah dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) serta Jemaah Islamiyyah (JI) sekitar tahun 2000 dahulu.

IED digunakan pada skala yang besar dalam perang di Iraq dan Afghanistan. Sehingga kini, statistik menunjukkan bahawa 63% kematian yang berlaku pada pihak tentera bersekutu di Iraq adalah disebabkan oleh IED yang dihasilkan melalui bahan letupan yang ditinggalkan atau yang tidak meletup mahupun yang berjaya dirampas dari pihak tentera. Di Afghanistan, sejak 2001 hingga kini, 66% kematian di pihak tentera kerajaan dan tentera Amerika adalah diakibatkan oleh IED yang dihasilkan oleh pejuang Taliban dan saki baki pengikut Al-Qaeda.

IED mempunyai lima komponen utama iaitu suis, fius, container (badan), peledak dan kuasa atau bateri. Kelima-lima komponen ini adalah asas dalam penghasilan IED yang mesti diketahui oleh teroris. Figura teroris rakyat Malaysia seperti Nasir Abbas, Yazid Sufaat, Nordin Mat Top dan Dr Azhari merupakan antara pakar yang terlibat dalam penghasilan IED yang digunakan bagi operasi di Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Walaupun mereka kini tidak lagi memberikan ancaman secara signifikan, tetapi pengetahuan yang telah dipindahkan adalah merupakan perkara yang amat merbahaya. Malah, Yazid Sufaat yang masih di dalam tahanan di bawah SOSMA mempunyai kecenderungan untuk memindahkan pengetahuan yang dimiliki di kalangan teman-teman satu sel. Bagi Nasir Abas pula, pengetahuan yang telah dipindahkan dahulu cuba ditebus kembali dengan penglibatan beliau sebagai pakar deradikalisasi yang bekerjasama dengan Polis Republik Indonesia (POLRI).

Bahan utama yang digunakan sebagai peledak dalam IED ini adalah paku, besi, kaca dan apa-apa sahaja bahan tajam yang mampu mencederakan sesiapa sahaja yang terkena letupan yang dihasilkan. Bahan-bahan ini dimampatkan dalam bekas-bekas yang padat seperti ‘tupperware’ paip dan besi. Dengan memasukkan bateri dan pemicu yang tepat dan disambung dengan wayar atau secara kawalan jauh, ianya sudah cukup untuk menghasilkan kesan letupan yang dahsyat.

Di Turki, Afghanistan, Thailand dan Filipina serta Iraq , sasaran utama letupan tersebut adalah pihak tentera dan polis yang dianggap sebagai musuh utama mereka. Banyak letupan di kawasan konflik ini dihasilkan dengan cara menyambungkannya dengan telefon genggam yang bertindak sebagai pemicu.

Satu lagi kaedah yang seringkali digunakan oleh teroris adalah Vehicle-Borne IED (VBIED). Metod ini adalah menggunakan kenderaan yang diisi penuh dengan bahan letupan dan digunakan untuk membuat serangan ke atas mana-mana kepentingan awam, kerajaan mahupun tentera. Ianya juga boleh dilakukan dengan menggunakan kenderaan yang dikawal dengan alat kawalan jauh atau ‘remote control’.

Kebanyakkan VBIED yang dilakukan di Iraq, Syria dan Afghanistan adalah menggunakan kaedah ini dan amat ditakuti oleh mana-mana pihak yang bertentangan dengan mereka. Pemandu yang terlibat dalam serangan secara VBIED juga adalah merupakan pengebom berani mati. Kenderaan tersebut akan diisi bukan sahaja bahan letupan IED yang besar jumlahnya, malah akan diletakkan juga pelbagai benda tajam yang boleh mengakibatkan kematian dan kesan kemusnahan yang dahsyat. Malah, sejarah juga telah memperlihatkan bagaimana bot digunakan sebagai alat peledak seperti dalam insiden Pearl Habour 1941 oleh tentera Jepun. Kaedah ini juga menjadi lebih kejam apabila mereka menggunakan keldai yang dikenali sebagai DBIED.

Kumpulan teroris juga menggunakan satu kaedah lagi yang amat mudah tetapi paling ditakuti iaitu kaedah ‘bunuh diri’ atau pengebom berani mati. Kaedah ini adalah dengan mengenakan IED dan HME pada diri sendiri yang dipakai dalam bentuk ‘vest’ serta diletupkan oleh perumah atau sipemakainya. Kaedah ini seringkali digunakan di Iraq, Afghanistan, Syria, Indonesia, Filipina dan Sri Lanka. IED yang dipasang pada diri mereka akan diletupkan berdasarkan sasaran yang dirangka atau diletupkan kerana ancaman yang berlaku pada ketika operasi dijalankan. Jarang sekali pengebom berani mati menyerah diri dan menggelakkan diri dari meletupkan IED dan HME yang dipakai mereka. Rakyat Malaysia seperti Taufik Abdul Halim yang putus kaki dalam oeprasi di Indonesia pada 2004 dan 11 lagi ‘pejuang’ di Syria adalah merupakan antara pengebom berani mati yang telah terbunuh dalam operasi yang dijalankan sebelum ini.

Selain itu, kaedah membuat terowong yang dipenuhi IED juga adalah merupakan kaedah serangan yang semakin popular. ISIS dan Jabhat al-Nusra di Syria telah menggunakan kaedah ini dalam melakukan serangan di pelbagai kelengkapan tentera dan bangunan kerajaan. Kaedah ini juga dipercayai mampu digunakan oleh teroris dalam kawasan-kawasan yang ditakluki mereka. Pemberontak dan kartel dadah di di Cuba, Colombia, Mexico dan Korea Utara telah menggunakan kaedah ini dalam siri-siri serangan yang dilakukan mereka.

Pada masa akan datang, dijangka kaedah yang lebih sofistikated akan dilakukan oleh teroris iaitu dengan menanam IED dalam badan aggotanya. Kaedah ini dikenali sebagai ‘surgically implanted’ atau ‘love handles’. Kaedah ini memungkinkan penyerang membawa bahan letupan ke mana-mana sahaja di seluruh dunia tanpa dikesan. Ianya sama seperti memasukkan botox atau ‘buah dada tiruan’ di kalangan penyerang wanita. Kaedah ini amat sukar untuk dikesan dan telah digunakan dalam operasi khas tentera Amerika, termasuklah agen-agen perisikan seperti CIA, FBI, KGB dan MOSSAD.

Selain itu, penggunaan robot dan drone juga adalah merupakan cabaran baru yang harus dihadapi oleh dunia. Ancaman teroris tidak lagi bergantung kepada kaedah konvensional semata-mata, malah mereka juga berevolusi dan menggunakan kecanggihan teknologi demi mencapai objektif yang disasarkan. Penggunaan proksi atau kenderaan yang dirampas dan dicat dengan warna musuh atau tentera juga adalah ancaman yang seharusnya diberikan perhatian khusus.

Malaysia harus bersedia, ancaman yang dihasilkan melalui IED, HME, VBIED dan lain-lainnya bukanlah mustahil boleh berlaku di negara ini. Kejadian di Sri Lanka dan Indonesia baru-baru ini menunjukkan bahawasanya, sikap ambil mudah dan membiarkan isu berkaitan ideologi dan pemilikan bahan senjata api konvensional telah mengakibatkan kemusnahan yang besar serta melahirkan konflik berpanjangan. Sikap tegas dan mengambil inisiatif mencegah lebih baik dari mengubati seharusnya didepani dalam apapun situasi yang dihadapi.


* Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam merupakan Pengerusi Kelab Perdana Global Peace Foundation (PGPF), Perlis Chapter. ([email protected])

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.