KUALA LUMPUR: Sektor pertanian negara perlu terus dipacu ke arah pemodenan serta kecekapan pengeluaran bagi memastikan keterjaminan makanan terus kukuh dalam mendepani cabaran semasa, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, Malaysia wajar mengambil iktibar daripada kejayaan sektor pertanian negara luar seperti Brazil, yang berjaya melonjakkan hasil pertanian khususnya jagung sehingga mengatasi Amerika Syarikat melalui pendekatan jaminan pasaran berbanding kebergantungan kepada subsidi semata-mata.
Menceritakan pengalaman bertemu rakan sejawatannya dari negara itu, Mohamad berkata, rahsia kejayaan Brazil bertunjangkan kepada dasar tidak memberi subsidi kepada petani, sebaliknya kerajaan memberi jaminan pembelian bagi hasil yang tidak terjual di pasaran.
"Sebanyak mana kalau keluaran mereka tidak laku, kerajaan jamin untuk membeli. Maka mereka akan bekerja kuat untuk mendapatkan hasil, kerana kalau tak laku di pasaran, kerajaan akan beli dan itulah antara sebab pertanian di Brazil memuncak naik," katanya pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 14 di sini, malam tadi.
Selain Mohamad, forum yang dikendalikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai moderator turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Presiden Kumpulan SD Guthrie Berhad, Mohd Haris Mohd Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Research Institute, Dr Sarena Che Omar.
Mengenai peruntukan subsidi padi tempatan yang kini mencecah RM2.6 bilion, Mohamad berkata, walaupun ada pandangan yang mencadangkan subsidi dihentikan dan beralih kepada pembelian beras semata-mata, langkah tersebut tidak wajar diambil kerana pesawah masih memerlukan sokongan dan motivasi berterusan.
"Perubahan ada, tapi kita agak perlahan. Saya kata tadi di MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) sudah boleh dapat lapan, sembilan tan walaupun tak ramai, tapi itulah tukar kepada pemodenan," katanya.
Dari segi pencapaian bekalan makanan lain, beliau memaklumkan, kadar sara diri (SSR) bagi komoditi ikan kini telah dicapai menerusi perkembangan pesat sektor akuakultur, selain bekalan ayam dan telur yang berada pada tahap pengeluaran yang menjamin kedudukan bekalan negara.
Bagi mengurangkan kebergantungan import, beliau berkata, kementerian giat menggerakkan penanaman jagung bijian bersama syarikat besar dengan sasaran mencapai 30 peratus pengeluaran menjelang 2030, di samping memperluaskan penanaman bawang hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Dalam pada itu, Mohamad turut menekankan keperluan merapatkan jurang antara institusi penyelidikan atau universiti pertanian dengan petani seperti yang dipraktikkan di Thailand.
"Kalau kita pergi ke universiti pertanian di Thailand, kita duduk di situ dua jam tiga jam, kita boleh lihat rombongan petani masuk keluar universiti. (Maka kita) kena rapatkan lagi supaya teknologi keluar hari ini, esok orang kampung dah boleh dapat," katanya.
Menyentuh mengenai keselamatan geopolitik dan ancaman masa hadapan, Mohamad mengingatkan masyarakat agar bersedia menghadapi kemungkinan ancaman perang siber yang boleh menjejaskan rantaian bekalan makanan, sebagai mana gangguan bekalan dan inflasi makanan yang mula dirasai di beberapa negara Eropah.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bekalan makanan asas dalam negara mencukupi dengan stok penimbal beras bersedia untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan manakala bekalan ikan untuk lapan bulan.
Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga sentiasa bersedia untuk menguruskan pengedaran makanan secara fizikal sekiranya berlaku sebarang gangguan capaian sistem.
Mengenai cabaran cuaca, Mohamad berkata, kementerian mengambil kira ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkaitan fenomena El Nino yang berpotensi membawa cuaca panas melampau sehingga mencecah 40 darjah Celsius selepas Disember ini.
Justeru, pesawah dinasihatkan mematuhi jadual penanaman yang ditetapkan bagi membolehkan pengurusan sumber air di tiga empangan utama kawasan MADA dilaksanakan secara berhemah.
"Kalau berlaku sampai keruncingan air di empangan ini, kita akan kurangkan air ke sawah padi dan bekalkan dalam bentuk kegunaan makanan (domestik). Pandangan ahli sains, meteorologi dan universiti kita ambil kira supaya keterjaminan makanan sentiasa ada," katanya.
-- BERNAMA