Skip to main content

Malaysia

Kerjasama pertahanan Malaysia-Turkiye lebih daripada sekadar perolehan aset - Ahmad Zahid

Malaysia melihat kerjasama pertahanan dengan Turkiye sebagai landasan strategik untuk memperkukuh keupayaan teknologi, mempererat hubungan dua hala serta menyumbang kepada kestabilan serantau di Asia Tenggara. - Gambar Pejabat TPM
Malaysia melihat kerjasama pertahanan dengan Turkiye sebagai landasan strategik untuk memperkukuh keupayaan teknologi, mempererat hubungan dua hala serta menyumbang kepada kestabilan serantau di Asia Tenggara. - Gambar Pejabat TPM
Advertisement

ISTANBUL: Malaysia melihat kerjasama pertahanan dengan Turkiye sebagai landasan strategik untuk memperkukuh keupayaan teknologi, mempererat hubungan dua hala serta menyumbang kepada kestabilan serantau di Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkongsian tersebut lebih daripada sekadar perolehan peralatan pertahanan, malah turut melibatkan pemindahan pengetahuan dan teknologi, serta membuka ruang bagi kerjasama yang lebih luas dalam bidang ekonomi, teknologi, pendidikan dan diplomatik.

Beliau berkata, diplomasi ketenteraan adalah sama penting dalam memastikan Asia Tenggara kekal aman dan stabil dari segi politik, terutamanya di tengah-tengah persaingan dan pengaruh yang semakin meningkat daripada kuasa-kuasa besar.

Advertisement

“Diplomasi ketenteraan juga penting kerana kita mahu melihat Asia Tenggara kekal sebagai rantau yang aman. Kita perlu mengekalkan kestabilan politik ASEAN, dengan kita mesti berusaha mencegah kuasa-kuasa besar daripada menggunakan pengaruh ke atas negara anggota ASEAN,” katanya pada sesi bertajuk “Turkiye From Regional Power to Multi-Regional Actor” di Forum Dunia TRT 2026, di sini, pada Jumaat.

Sesi tersebut turut menampilkan Pengarah Kajian Dasar Luar di Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA), Prof Murat Yesiltas; Felo Kanan Bukan Residen di Atlantic Council, Dr Rich Outzen; Presiden American Arab Center, Farah Al-Atassi serta Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Operasi Keamanan, Jean-Pierre Lacroix.

Advertisement

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan keyakinan bahawa kerjasama yang lebih erat dalam bidang pertahanan dan teknologi akan memacu kedua-dua negara ke arah mencapai sasaran perdagangan dua hala yang lebih tinggi, iaitu sebanyak USD10 bilion, di samping mewujudkan hubungan perdagangan yang lebih seimbang dan dinamik.

“Dari perspektif kedua-dua negara, sasaran ini boleh dicapai, terutamanya dengan perolehan peralatan pertahanan dan keselamatan oleh Malaysia. Kita telah pun menerima Kapal Misi Pesisir (LMS) serta kenderaan udara tanpa pemandu,” katanya.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turkiye kini bernilai AS$5.6 bilion, dengan kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan angka tersebut kepada AS$10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sasaran ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperluas hubungan ekonomi, dengan Malaysia merupakan antara rakan dagang utama Turkiye di Asia Tenggara, di samping Singapura.

Malaysia dan Turkiye secara rasmi menjalin hubungan diplomatik pada 17 Jun 1964, dan sejak itu mengekalkan kerjasama erat dalam pelbagai sektor, termasuk politik, perdagangan, ekonomi dan pendidikan.

Forum Dunia TRT 2026, yang bertemakan “A World Without a Center: Who Leads When the Rules Run Out?” , menghimpunkan pemimpin politik, penggubal dasar, ahli akademik, pengamal media dan wakil masyarakat sivil dari seluruh dunia untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu global yang mendesak.

Antara tokoh terkemuka Malaysia yang pernah mengambil bahagian dalam forum ini termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 dan 2019, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz (2019) serta pakar kesihatan awam, Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood (2020).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement