WASHINGTON: Eric Trump, anak kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, membuat pelaburan besar dalam sebuah syarikat dron Israel yang mempunyai rekod kontrak bersama Jabatan Pertahanan AS, sekali gus mencetuskan semula kebimbangan berkait konflik kepentingan dalam pentadbiran White House.
Menurut laporan, Eric melabur dalam penggabungan bernilai AS$1.5 bilion antara pengeluar dron Israel, XTEND dan syarikat pembinaan Florida, JFB Construction Holdings, dalam usaha membawa XTEND ke pasaran saham tahun ini.
Advertisement
XTEND sebelum ini digunakan tentera Israel dalam operasi di Gaza termasuk pemetaan terowong bawah tanah, selain disenaraikan antara 25 syarikat terpilih dalam program Drone Dominance Jabatan Pertahanan AS untuk pembangunan dron serangan kos rendah.
Syarikat itu turut memperoleh beberapa kontrak Pentagon sejak 2024, termasuk kontrak bernilai AS$8.8 juta.
Syarikat itu mempromosikan dron mereka sebagai sistem “low cost per kill”, menjadikannya antara keutamaan pembelian Pentagon dalam strategi ketenteraan moden.
Pelaburan ini juga melibatkan syarikat Unusual Machines, yang sebelum ini melantik Donald Trump Jr sebagai penasihat pada 2024. Syarikat itu turut menyertai pelaburan merger XTEND-JFB.
Pelaburan tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada pengembangan besar-besaran empayar perniagaan keluarga Trump sejak beliau kembali ke White House.
Rekod menunjukkan keluarga Trump mengaut lebih AS$800 juta hasil jualan kripto pada separuh pertama 2025.
XTEND bakal disenaraikan sebagai XTEND AI Robotics
Selepas selesai penggabungan pertengahan 2026, syarikat baharu itu akan dinamakan XTEND AI Robotics dan bakal disenaraikan di Nasdaq di bawah simbol “XTND.”
XTEND kini membangunkan sistem operasi dron berpandukan kecerdasan buatan (AI) yang boleh dikendalikan oleh pengguna biasa dengan latihan minimum — teknologi yang digunakan dalam operasi ketenteraan termasuk misi terowong, pembersihan bangunan berisiko tinggi dan operasi tanpa GPS.
Sementara itu, Eric dalam kenyataan media yang dikeluarkan berkata: “Saya amat berbangga melabur dalam syarikat yang saya percaya. Dron jelas merupakan teknologi masa depan. XTEND mempunyai potensi luar biasa.”
Kebimbangan mengenai konflik kepentingan kembali memuncak apabila pelaburan terbaharu ini menambah kepada deretan isu sama yang membabitkan keluarga Trump, khususnya dakwaan bahawa mereka menggunakan kedudukan presiden untuk meraih manfaat peribadi.
Menurut pakar etika, perkembangan ini menimbulkan persoalan sama ada ahli keluarga Presiden sedang mengembangkan kekayaan sendiri melalui akses dan kuasa politik yang mereka miliki.
Kedric Payne, pengarah kanan etika di Campaign Legal Center, berkata: “Perkara pertama yang terlintas ialah satu lagi contoh ahli keluarga Presiden kelihatan meraih keuntungan daripada jawatan Presiden.”
Beliau menjelaskan, sebelum ini seorang Presiden akan sedaya upaya mengelakkan apa-apa situasi yang boleh menimbulkan persepsi keluarganya mendapat layanan istimewa.
“Kini, kita tidak lagi melihat langkah-langkah sedemikian,” katanya kepada Al Jazeera.
Dalam masa sama, JFB Construction melantik Stefan Passantino, bekas peguam White House ke lembaga pengarahnya ketika proses penggabungan sedang berjalan.
Pelaburan ini juga berlaku tatkala syarikat keluarga Trump memfailkan permohonan tanda dagang nama Presiden untuk digunakan pada lapangan terbang.
Menurut laporan Associated Press, syarikat itu mendakwa tidak bercadang mengenakan bayaran bagi cadangan menamakan semula sebuah lapangan terbang berhampiran kediaman Trump di Florida - sekurang-kurangnya buat masa ini.
Peguam tanda dagang, Josh Gerben yang menemukan permohonan tersebut, menyifatkannya sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah Amerika Syarikat, memandangkan tiada Presiden atau syarikat milik Presiden yang sedang memegang jawatan pernah memohon tanda dagang sebegitu terlebih dahulu.
Situasi ini turut mencetuskan perbandingan dengan kritikan terdahulu terhadap keluarga Biden.
Ketika pentadbiran Presiden Joe Biden, Republikan pernah mempersoalkan Hunter Biden yang dikatakan memanfaatkan hubungan White House untuk mengembangkan perniagaan peribadinya.
Payne berkata: “Ketika Hunter Biden mendapat jawatan dalam sebuah syarikat luar negara, wujud kebimbangan bahawa beliau menggunakan namanya untuk mendapatkan jawatan berprofil tinggi.
"Tiada kaitan dengan kontrak kerajaan, namun persepsi itu sendiri sudah cukup menimbulkan kontroversi.”
Pada Mac 2024, Jawatankuasa Pengawasan Dewan Perwakilan AS turut mendakwa keluarga Biden “terlibat atau mendapat manfaat daripada beberapa skim perniagaan.”
Pengerusinya ketika itu, James Comer, berkata: “Kami mendapati Joe Biden mengambil tindakan demi tindakan untuk membantu keluarganya mengaut kekayaan.”
Namun demikian, Comer tidak memberikan sebarang maklum balas kepada Al Jazeera apabila ditanya sama ada beliau mempunyai kebimbangan serupa terhadap keluarga Trump dalam kes pelaburan dron ini.
Payne menegaskan, kes yang melibatkan Eric Trump jauh lebih serius: “Kita bercakap mengenai sesuatu yang lebih ekstrem - seorang anak Presiden menerima manfaat daripada kontrak kerajaan, sekurang-kurangnya secara tidak langsung melalui syarikat yang dimilikinya, termasuk kontrak lumayan dengan Jabatan Pertahanan.
"Ini tidak pernah kita saksikan sejak kes Halliburton dan Naib Presiden Dick Cheney.”
Setakat ini, pihak White House dan Trump Organization tidak memberikan sebarang komen mengenai perkara ini. - Agensi