NEW YORK: Anak lelaki jutawan Elon Musk, Xavier Alexander, telah memfailkan permohonan untuk tidak lagi menggunakan nama keluarganya, selain turut mahu mengubah nama asalnya mengikut identiti jantina baharunya.

"Saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan bapa kandung saya dalam apa jua cara atau bentuk," itu alasan yang diberikan Xavier.

Petisyen pertukaran nama dan sijil kelahiran baharu mengikut identiti jantina baharunya telah difailkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles di Santa Monica pada April. Ia terbongkar baru-baru ini menerusi laporan beberapa media dalam talian.

Remaja berusia 18 tahun itu meminta mahkamah menukar pengiktirafan jantinanya daripada lelaki kepada perempuan dan mendaftarkan nama baharunya, Vivian Jenna Wilson.

Dia merupakan salah seorang daripada lima anak Musk bersama bekas isterinya, penulis Justine Wilson.

Mereka bercerai pada 2008.

Musk, individu terkaya di dunia, juga mempunyai dua anak dengan pemuzik, Grimes.

Tiada penjelasan lanjut mengenai keretakan hubungan antara Musk dan anaknya itu.

Namun Mei lalu, kira-kira sebulan selepas Xavier menfailkan dokumen pertukaran nama dan jantina, Musk mengisytiharkan sokongannya kepada Parti Republikan, yang menyokong undang-undang yang akan mengehadkan hak transgender di Amerika Syarikat.