KABUL: Anak pengasas gerakan Taliban, Mullah Omar muncul buat pertama kali di khalayak umum pada Rabu ketika pemerintah baharu Afghanistan itu berusaha untuk memulihkan imej mereka.

Rakaman disiarkan stesen TV itu memaparkan Mohammad Yaqoob yang juga pemangku Menteri Pertahanan merayu bantuan ahli perniagaan bagi pelaburan untuk hospital dan klinik.

“Ayuh melabur bersama-sama untuk membina perkhidmatan penjagaan kesihatan di Kabul yang semakin terjejas,” katanya di hospital tentera Sardar Mohammad Dawood Khan di ibu kota Afghanistan.

Bapanya sebelum ini jarang tampil di khalayak ramai, malah berita kematiannya pada 2013 tidak didedahkan kepada umum selama lebih dua tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar China, Wang Yi menggesa Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyambung semula bantuan kewangan kepada Afghanistan.

“Kabul memerlukan proses pemulihan dalam semua bidang dan projek pembangunan semula wajar diberi keutamaan,” ujarnya.

Sebelum ini, Beijing berjanji untuk menyalurkan AS$30 juta (RM124 juta) untuk bantuan kemanusiaan kecemasan kepada Afghanistan selepas dana bantuan disekat.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.