Skip to main content

Dunia

Ancaman Laut Sulu-Sulawesi diturunkan ke tahap rendah pada 2025, cerminan kerjasama serantau - PCG

Source : FB Philippine Coast Guard
Tiada insiden penculikan dilaporkan di Laut Sulu - Sulawesi sejak Januari 2020. - Gambar/ FB PCG

MANILA: Ancaman penculikan kru untuk wang tebusan di Laut Sulu dan Sulawesi telah diturunkan daripada tahap "tinggi" kepada "rendah" setakat Januari 2025, menandakan peningkatan signifikan dalam keselamatan maritim di rantau ini.

Komandan Pengawal Pantai Filipina (PCG), Laksamana Ronnie Gil L Gavan berkata penurunan gred itu mencerminkan kerjasama maritim serantau yang mampan selama bertahun-tahun, terutamanya antara Filipina dan negara jiran termasuk Malaysia dan Indonesia.

Advertisement

"Tahap risiko yang dinilai sebagai tinggi pada 2016 telah diturunkan secara progresif sehingga mencapai tahap rendah pada Januari 2025," katanya semasa sesi bersama peserta Projek Lawatan Media Maritim Asia Tenggara (SEAMMVP) di Ibu Pejabat Kebangsaan PCG di sini pada Rabu.

Dibiayai oleh Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia dengan kerjasama Universiti La Trobe, Melbourne, SEAMMVP bertujuan memupuk pemahaman lebih mendalam mengenai isu maritim serantau dan memperkukuh rangkaian kolaboratif wartawan Asia Tenggara.

Seramai 12 wartawan dari Filipina, Malaysia, Indonesia dan Vietnam menyertai program itu.

Gavan menarik perhatian bahawa tiada insiden penculikan dilaporkan di Laut Sulu - Sulawesi sejak Januari 2020.

Beliau berkata situasi keselamatan di selatan Filipina berbeza dengan Laut Filipina Barat, memandangkan ancaman di wilayah Sulu-Sulawesi sebahagian besarnya dikaitkan dengan keganasan dan lanun yang didorong oleh gerakan pemisahan yang lama berlarutan serta cabaran sosioekonomi.

“Kisah di Selatan adalah berbeza daripada kisah di Barat. Terdapat usaha kolektif untuk menangani punca isu keselamatan itu yang bersifat sosial. Keadaan sosioekonomi di kawasan berkenaan bertambah baik. Aktiviti perdagangan meningkat dan rakyat mempunyai lebih banyak wang,” katanya.

Menurut Gavan, perjanjian damai dengan kumpulan pemberontak utama, tadbir urus yang lebih baik dan peluang ekonomi yang lebih luas telah membantu meredakan keadaan yang sebelum ini mencetuskan keganasan dan kegiatan lanun.

Beliau menyifatkan strategi itu sebagai gabungan "tumbukan keras dan lembut" -- memperhebat operasi ketenteraan terhadap elemen melanggar undang-undang di satu pihak, dan langkah integrasi sosial serta pembangunan jangka panjang di pihak yang lain.

Gavan berkata lebih 4,000 daripada lebih 36,000 kakitangan PCG kini terdiri daripada komuniti Muslim di selatan Filipina, menyifatkan Pengawal Pantai sebagai  satu daripada agensi keselamatan yang paling inklusif di negara itu.

Beliau berkata pendekatan inklusif itu telah menyumbang kepada keamanan yang lebih kekal dan kemakmuran relatif di kawasan berkenaan.

"Itu adalah satu aspek yang dibanggakan oleh Pengawal Pantai. Itulah sebabnya wujud keamanan di kawasan itu sekarang," katanya.

Sambil menyambut baik prospek keselamatan yang bertambah baik, Gavan menekankan bahawa kewaspadaan berterusan dan kerjasama serantau yang berterusan kekal penting bagi mencegah sebarang kebangkitan semula ancaman.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video